[VIDEO] Hingga diberi gelaran Hadi Messi, striker Armed Forces beri cabaran buat Kedah, Perak di Liga A


  • Podium
  • Ahad, 24 Ogos 2025

Armed Forces FC yang dibimbing oleh Kevin Lee Cooper ketika ini mendahului carta Liga A1 dengan sembilan mata hasil tiga kemenangan. — Facebook/Armed Forces FC

SAINGAN Liga A1 Semi Pro musim 2025/2026 semakin rancak apabila beberapa kelab mula memperkuatkan pasukan dengan kehadiran pemain import berkualiti antaranya Selangor FC II dan Johor Darul Ta’zim II (JDT II).

Selangor FC II tampil dengan dua tonggak import yang menjadi nadi utama pasukan iaitu pertahanan kelahiran Perancis, Seif-Dine Hraoubia dan penyerang dari Afghanistan, Omid Musawi.

Kedua-dua pemain itu memainkan peranan penting dalam kemenangan 3-0 ke atas Malaysian University pada aksi yang berlangsung di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Selangor pada 9 Ogos lalu.

BACA LAGI: Belasah kelab Liga A1 bukan alasan Sabah FC pandang rendah Kelantan TRW

BACA LAGI: Gaji tak dibayar kelab Lembah Klang, bekas kapten Kedah antara pemain buat laporan polis

JDT II turut tidak ketinggalan apabila menurunkan penyerang import dari Sepanyol, Celso Jose Bermejo Macias, sekali gus menunjukkan betapa seriusnya persiapan kelab-kelab dalam saingan Liga A1 berkenaan.

Namun, dalam kehangatan kehadiran pemain import, tumpuan turut beralih kepada bintang tempatan, Hadi Mohamad dari Armed Forces FC, yang kini mencuri perhatian sebagai penjaring terbanyak Liga A1 setakat ini.

Penyerang berusia 25 tahun yang menyarung jersi nombor 10 itu sudah merekodkan lima gol, mengatasi pemain-pemain import lain dalam carta penjaring terbanyak.

Hadi menjaringkan dua gol ketika menentang Bunga Raya FC (3 Ogos), satu gol menentang Imigresen FC (8 Ogos), serta dua lagi gol ketika berdepan Kelantan Wan Tendong Stable FC (17 Ogos).

Dengan prestasi konsisten itu, Hadi yang diberi jolokan Hadi Messi kini diekori rapat oleh rakan sepasukannya, Hairul Iqmal Mohd Raffi, dan pemain Kelantan WTS FC, Ahmad Nazri Muhamad masing-masing dengan dua gol.

Hadi Mohamad (jersi merah) kini menerajui carta penjaring terbanyak dengan lima gol selepas hanya tiga perlawanan. AFL

Sekiranya prestasi itu dapat diteruskan, Hadi sudah tentu dapat merampas kejuaraan Kasut Emas Liga A1 Semi Pro yang dimenangi Abdul Azim Rahim bersama Melaka FC musim lalu.

Armed Forces FC ketika ini mendahului carta Liga A1 dengan sembilan mata hasil tiga kemenangan dan Hadi dijangka terus menambah jaringan apabila pasukannya bakal bertemu Kedah FA (5 Oktober) dan Perak FA (25 Oktober), dua pasukan yang kini dibarisi ramai pemain muda dan berpengalaman terhad.

Sebelum itu, cabaran lebih besar menanti skuad kendalian Kevin Lee Cooper apabila bakal menentang pasukan pilihan, Selangor FC II, pada 14 September, diikuti pertemuan dengan Seoul Phoenix FC seminggu kemudian (21 September).

Dengan baki beberapa perlawanan yang masih terbuka, peluang untuk Hadi mengekalkan status selaku penjaring terbanyak tampak cerah, lebih-lebih lagi dengan prestasi cemerlang yang ditampilkan setakat ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram