SATU rakaman memaparkan insiden pergaduhan melibatkan penyokong Negeri Sembilan FC (NSFC) dan Terengganu FC (TFC) tular di media sosial, sejurus selepas perlawanan kedua-dua pasukan di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi pada Sabtu.
Menerusi satu hantaran dimuat naik di laman Facebook milik Penyulam Aksara, kejadian dipercayai berlaku di luar stadium selepas perlawanan berakhir dengan keputusan seri 1-1.
Menurut laporan awal, insiden dikatakan tercetus apabila beberapa individu didakwa membaling batu ke arah sebuah bas penyokong sehingga mengakibatkan kerosakan pada bahagian cermin kenderaan berkenaan.
BACA LAGI: 'Tengok nama dah tahu tak ke final', penyokong HM sudah ramal nasib skuad Nafuzi Zain
Begitupun, setakat ini belum dapat dipastikan penyokong kelab mana yang bertanggungjawab terhadap perbuatan khianat tersebut.
Difahamkan, provokasi dari dalam stadium turut disebut sebagai antara punca ketegangan yang membawa kepada pertengkaran di kawasan luar venue sejurus wisel penamat dibunyikan.
Susulan itu, seorang penyokong bola sepak tempatan, Mohd Noor menzahirkan rasa kecewa terhadap segelintir penyokong yang gagal mengawal emosi sehingga mencetuskan insiden tidak beradab itu.
“Perkara begini nampaknya sudah jadi budaya bergaduh sebelum dan selepas perlawanan, sama ada di dalam atau luar stadium.
“Sikap segelintir penyokong yang suka buat hal menyebabkan penyokong lain turut menjadi mangsa,” katanya.
Dia turut mengingatkan bahawa kejadian sedemikian mampu mencetuskan dendam berpanjangan antara kelompok penyokong dan membuka ruang kepada insiden lebih buruk pada pertemuan timbal balik.
Mohd Noor menegaskan, tindakan ganas sedemikian bukan sahaja mencemarkan imej bola sepak negara, malah boleh membawa padah besar kepada kelab.
“Polis pun tidak boleh mengawal jika perbuatan ini berulang. Kelab boleh dikenakan tindakan, termasuk denda stadium kosong. Jika berlaku dalam pertandingan bawah AFC atau FIFA, hukumannya jauh lebih berat,” jelasnya.
Punca pergaduhan setakat ini masih belum dapat dipastikan apabila kedua-dua penyokong saling menunding jari ke arah satu sama lain berhubung kes berkenaan.
Setakat ini, tiada sebarang kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa berhubung insiden tersebut. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
