SKUAD Jang kelihatan mula bergelut kebelakangan ini, terutamanya selepas mencicirkan mata ketika berdepan Terengganu FC di laman sendiri pada Sabtu.
Dalam aksi itu, Negeri Sembilan FC mencicirkan mata pada minit-minit akhir selepas benteng pertahanan gagal menyedari pergerakan Ubaidullah Shamsul Fazili.
Gol pada masa kecederaan tersebut menyaksikan anak-anak buah Nidzam Jamil gagal memanfaatkan kelebihan selepas skuad Sang Penyu terpaksa beraksi 10 orang berikutan layangan kad merah ke atas Kyaw Min-oo.
BACA LAGI: [VIDEO] Bukan setakat pakar taktikal, Nidzam Jamil juga ada bakat dalam bidang seni suara

Skuad Jang hanya meraih satu mata ketika berdepan Terengganu FC di laman sendiri. — Facebook/Negeri Sembilan FC
Ini sekali gus membuatkan ribuan penyokong tuan rumah yang hadir ke stadium menyuarakan rasa kurang senang terhadap keputusan demi keputusan dibuat ketua jurulatih itu.
Lebih teruk lagi, imej Negeri Sembilan FC turut tercalar apabila berlaku kekecohan selepas perlawanan dipercayai akibat balingan mercun dan lontaran kata-kata kesat antara peminat.
Hal-hal itu kemudian membuatkan ramai berpandangan penyokong skuad Jang sudah mula berubah seperti mana ditekankan pengguna Facebook, Amin Ghani.
"Hilang jati diri Negeri Sembilan, yang ada hanya menunjukkan masing-masing ada masalah hati. Sebelum ini, semasa baru pertama kali stadium penuh berdepan Selangor FC, ramai pandai katakan penyokong mahukan suasana sahaja kerana tahu kemampuan setakat mana.
"Tetapi, tidak sampai empat bulan, penyokong Negeri Sembilan sudah seperti adik-beradik penyokong Selangor FC yang buta tuli dan suka-suka bercakap mengalahkan pengurusan yang berusaha cari dan dan perbaiki pasukan," tulisnya.

Amin Ghani memberi pandangan mengenai sikap sesetengah penyokong. — Facebook/Amin Ghani
Sebelum ini, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Negeri Sembilan FC, Faliq Firdaus mengakui pasukan itu masih belum cukup untuk bersaing, namun akan terus membawa mereka ke tahap lebih tinggi.
Kata-kata itu mula dibuktikan dengan pembangunan bakat muda lebih tersusun serta perancangan pembangunan pusat latihan yang sudah lama dimahukan.
Selain itu, bagi menambah baik kualiti skuad Jang, Faliq pernah menegaskan rombakan akan dibuat pada jendela perpindahan akan datang.
"Heboh main teruk padahal sudah tahu yang kualiti ada pada pemain dengan bajet dimiliki, kau suruh (Jurgen) Klopp masuk gantikan Nidzam pun tak boleh tukar taktikal kerana pilihan yang terhad.
"Seperti semalam (Sabtu), bising suruh menyerang. Nampak tak masalah Negeri Sembilan yang tiada perancang kreatif untuk pecahkan blok pertahanan Terengganu FC?" soal penyokong itu lagi.
Keputusan seri di laman sendiri itu menyaksikan skuad Jang kini menduduki tangga keenam Liga Super dengan tujuh mata dibezakan berbanding Kuching City FC yang menduduki slot ke Liga Juara-Juara AFC (ACL) Two akan datang. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
