[VIDEO] 'Juri mabuk kot', Jojo tak terkecuali rasa geram tengok mutu pengadilan Byon


  • Podium
  • Ahad, 23 Nov 2025

Jojo (kiri) yang menyatakan rasa kurang senang akan mutu juri dan pengadilan dalam Byon Combat yang berlangsung pada Sabtu.

PEMINAT sukan tempur dalam negara disajikan aksi hangat dalam Byon Combat Vol 6 yang berlangsung di Tennis Indoor Senayan, Jakarta, Indonesia pada Sabtu.

Senarai pertembungan antara wakil negara dan Indonesia dijadualkan cukup baik, terutamanya aksi antara Ronal Siahaan dan Putra Abdullah yang diletakkan sebagai perlawanan utama.

Bagaimanapun, kehangatan Byon Combat kali ini dicemari isu juri dan pengadilan yang dianggap peminat tempatan sebagai berat sebelah.

BACA LAGI: [VIDEO] Atlet Muay Thai Malaysia, Puteri Rania selamat dirisik petinju Indonesia, Jaden Bahtera

BACA LAGI: [VIDEO] 'Rileks jangan nangis', Putra Abdullah buat 'fighter' Indonesia terduduk, telan balik kata-kata sombong

Antara pertembungan mencetuskan kontroversi adalah apabila peninju negara, Kabilan Jelevan tidak dianugerah kemenangan meskipun aktif membalas serangan lawan, Fahri Alamsyah.

Menerusi keputusan sebulat suara atau 'unanimous decision', juri meletakkan atlet Indonesia itu sebagai pemenang yang jelas menimbulkan keraguan.

Malah, ketika keputusan disebut, Kabilan pada awalnya yakin bahawa kemenangan akan berpihak kepadanya sebelum riak wajahnya berubah ketika pengumuman dibuat.

Situasi itu turut meraih perhatian atlet muay thai tanah air, Johan Ghazali yang jelas meragui keputusan itu dengan menulis 'Juri mabuk kot' di laman Instastory peribadinya.

Kenyataan ringkas berkenaan dibuat berserta klip memaparkan Kabilan sudah bersedia untuk meraikan kemenangan selepas menampilkan aksi meyakinkan.

Jojo memuat naik foto memaparkan barisan juri dan pengadil bagi saingan Byon Combat Vol 6.

Malah, dalam hantaran berbeza, Johan atau turut dikenali sebagai Jojo berkongsi barisan juri dan pengadil yang didominasi Indonesia yang menceritakan isu berat sebelah dalam pertandingan kali ini.

Beberapa kontroversi lain juga dibangkitkan seperti dalam perlawanan antara wakil negara, Izat Zaki dan Fabian Farhan yang menyaksikan keputusan berpihak kepada wakil dari Indonesia itu.

Dalam perlawanan akhir antara Putra dan Ronal pula, drama muncul selepas pengadil gagal memilih pemenang yang sekali gus menyaksikan aksi tergantung tanpa keputusan muktamad.

Pandangan orang ramai menyatakan Putra Abdullah lebih dominan pada empat pusingan awal dan satu atau dua insiden 'illegal move' pada pusingan terakhir tidak wajar mengubah kedudukan kepada seri.

Meskipun kemenangan 5-4 berpihak kepada Malaysia, peminat sukan tempur beranggapan keputusan dibuat sepanjang aksi kali ini tidak dibuat secara telus. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram