BINTANG muda muay thai negara, Muhammad Mikail Ghazali atau mesra disapa Miki muncul juara dalam aksi kemuncak Warrior's Arena 2025 yang berlangsung di Dewan Millenium, Kepala Batas, Pulau Pinang pada Sabtu.
Kejayaan itu dicapai selepas Miki menewaskan wakil Thailand, Yodkitti dalam pertarungan yang menyaksikan persembahan santai namun penuh bertenaga daripada juara muda negara itu.
Dalam perlawanan tersebut, Miki memukau penonton dengan pergerakan spinning kick yang mengelirukan pihak lawan, sekali gus memastikan kemenangan berpihak kepadanya.
BACA LAGI: [VIDEO] Piala FA: Peluang terbaik The Rhinos tambah garam di luka Gergasi Merah
BACA LAGI: [VIDEO] Dikesan tinggalkan stadium lebih awal, fans desak CEO Selangor FC letak jawatan
Apa yang menarik perhatian bukan sahaja kemenangan Miki tetapi keakraban kedua-dua petarung selepas perlawanan.
Meski tewas, Yodkitti dilihat turut gembira dengan kejayaan Miki.
Video yang dimuat naik di Facebook milik Johan Ghazali Jojo Fans memaparkan kedua-dua petarung tersebut meraikan kemenangan Miki sambil diiringi lagu sinonimnya, Paqueta.
Lebih manis, Yodkitti sempat memeluk dan mencium pipi Miki menzahirkan semangat sportsmanship yang tinggi serta menunjukkan profesionalisme yang wajar dicontohi dalam sukan.
“Macam ini barulah namanya profesional,” kata Kak Ayu Catering Garuda Legacy.
“Wah, seronoknya, enjoy the fight and be opponent friends, really enjoy,” kata Silvester Felix.
“Comellah, sudah lawan lepas itu sayang, tahniah Miki dan pihak lawan, sportsmanship yang sangat bagus,” kata Goretti Seda.
Dengan kemenangan itu, Miki sekali lagi mengukuhkan reputasinya sebagai bintang muda muay thai negara yang berbakat dan berkarisma, sambil mengekalkan nilai profesionalisme dan persahabatan di arena sukan.
Untuk rekod, kejohanan tersebut menghimpunkan lebih 16 pertarungan Muay Thai profesional melibatkan penyertaan atlet tempatan dan antarabangsa bagi memeriahkan pentas sukan tempur terbesar di utara negara. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
