[VIDEO] 'Budak sekolah mereka kena ajar adab, hormat', Safee Sali sokong Jojo 'sound' penganjur WWC tak dapat kelulusan KBS


  • Podium
  • Isnin, 03 Nov 2025

Safee Sali (gambar kecil) berkata tindakan penganjur WWC tidak wajar kerana melibatkan pelajar sekolah yang sepatutnya diajar nilai adab dan hormat, bukannya budaya kekerasan.

BEKAS penyerang kebangsaan, Safee Sali menyatakan sokongan terhadap tindakan atlet muay thai muda negara, Johan Ghazali, yang lantang menegur penganjur acara sukan tempur Warzone World Championship (WWC) baru-baru ini.

Menerusi satu hantaran di Instagram Story, Safee berkongsi semula video yang memaparkan aksi gimik pergaduhan antara dua peserta bawah umur, Al Fateh dari Malaysia dan Fadilah dari Indonesia, ketika sesi face-off kejohanan tersebut.

Dalam video yang dikongsikan itu, kedua-dua peninju cilik bawah umur terbabit dilihat bertindak ganas apabila saling menolak dan hampir bergaduh di atas pentas.

BACA LAGI: [VIDEO] 'Tegur banyak kali, aduan polis pun dah buat', geng motor buat bising sampai subuh bikin penduduk Damansara Damai stres

BACA LAGI: Kes tembak Sungai Golok: Bekas penjaga gol Kelantan serah diri bersama senjata

Safee berkata tindakan itu tidak wajar kerana melibatkan pelajar sekolah yang sepatutnya diajar nilai adab dan hormat, bukannya budaya kekerasan.

"Pelik siapa yang ada idea buat macam ini. Budak sekolah macam mereka kena ajar adab dan hormat.

"Ini tak, ajar acah-acah bergaduh, lepas itu harap budak-budak tak ikut. Patutlah Jojo (Johan Ghazali) ‘sound’ organizer hari itu. Saya sokong @johanghazali," tulisnya pada Isnin.

Aksi ganas yang ditunjukkan Al Fateh (kanan) dan Fadilah dari Indonesia, ketika sesi face-off WWC dianggap kurang sesuai untuk tontonan umum.

 

Terdahulu, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh mengesahkan bahawa kejohanan WWC berkenaan tidak mendapat kelulusan daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Menurut beliau, sebarang penganjuran sukan yang melibatkan penyertaan antarabangsa perlu mendapatkan kelulusan daripada Pesuruhjaya Sukan Malaysia (PJS) selaras dengan Akta Pembangunan Sukan 1997 [Akta 576].

“Bagi sebarang penganjuran acara sukan antarabangsa yang tidak mendapatkan kelulusan PJS, tindakan boleh diambil di bawah Seksyen 36, Akta 576,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Isnin malam.

 

 

Sebelum ini, tular di media sosial video sidang media kejohanan WWC yang memperlihatkan dua peserta cilik terlibat dalam aksi kekerasan ketika sesi pengenalan, yang didakwa sebagai gimik promosi acara tersebut.

Tindakan tersebut yang didakwa sebagai gimik promosi nyata mengundang rasa kurang senang dalam kalangan warganet yang berpendapat ia tidak sesuai dipertontonkan kepada umum, apatah lagi melibatkan peserta di bawah umur.

Malah, aksi sedemikian boleh memberi gambaran buruk terhadap sukan tempur dan menanam nilai negatif kepada atlet muda yang baru berjinak-jinak dalam arena berkenaan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram