PENGANJURAN Warzone World Championship (WWC) yang bakal berlangsung pada awal Disember mengundang pelbagai respons kerana ia tidak menerima pengesahan daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS).
Sesetengah pihak melihat pertandingan itu merupakan platform terbaik buat mana-mana atlet cilik yang berminat untuk menceburi sukan muay thai.
Bagaimanapun, pandangan majoriti beranggapan WWC tidak menjanjikan peluang berkembang dalam seni mempertahankan diri, namun sebaliknya hanya menjadi ruang buat pihak penganjur mengaut keuntungan.
BACA LAGI: [VIDEO] 'Patut Jojo sekolahkan orang tua, mak bapak jangan terkejut kalau anak jadi samseng'
Imej pertandingan itu turut dicalarkan selepas atlet muda negara, Johan Ghazali mengkritik aktiviti promosi dilakukan Yusuf Azmi menjelang pertembungannya dengan pesaing dari Indonesia, Yunus Martin.
Tidak terhenti di situ, penyertaan kanak-kanak turut mengundang kritikan apabila orang ramai berpendapat percakaran hangat antara dua peserta muda negara, Al Fateh dan Fadilah dari Indonesia ketika aksi 'face-off' boleh menjadi contoh tidak baik.
Pertelingkahan tersebut menerima tumpuan ramai pihak seperti ibu bapa serta legenda bola sepak negara, Safee Sali yang setuju atas teguran dibuat Johan berhubung pertandingan itu.
Menyedari kritikan yang dilontarkan, Al Fateh tampil memohon maaf menerusi sebuah video di akaun Instagram dengan dia turut menceritakan perjalanan ditempuh dalam sukan muay thai.
Namun, permohonan tersebut boleh dikatakan mengeruhkan lagi keadaan apabila Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh meminta pihak penganjur agar tampil dan tidak menjadikan kanak-kanak sebagai mangsa keadaan.
"Tolong jangan gunakan kanak-kanak untuk membuat penjelasan seperti ini. KBS tidak memerlukan anak kecil ini untuk meminta maaf. Anak kecil ini tidak salah. Penganjur perlu bertanggungjawab," tulisnya di ruangan komen.
Ini bukanlah kali pertama Hannah Yeoh bersuara mengenai penganjuran pertandingan itu kerana sebelum ini, beliau tampil menegaskan WWC dianjurkan tanpa kebenaran.
Beliau turut berkongsi bahawa kebanyakan ibu bapa membantah kejohanan terbabit memandangkan ia tidak selaras dengan nilai dan budaya sukan tidak selamat seperti mana diterima menerusi maklum balas.
Tindakan tegas seperti laporan polis akan dibuat KBS sekiranya WWC terus dilangsungkan kerana ia gagal mendapat kelulusan seperti mana ditekankan kementerian berkenaan.
Setakat ini, pihak penganjur masih belum memberi sebarang bentuk maklum balas mengenai pembatalan acara itu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
