PERJUANGAN Selangor FC dalam saingan Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL 2) akhirnya berakhir selepas tewas 2-3 di tangan Persib Bandung dalam aksi yang berlangsung di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Selangor pada Khamis.
Keputusan itu menyaksikan Gergasi Merah terus mengalami detik buruk dalam saingan ACL 2 apabila tewas semua empat perlawanan dan menghuni tangga tercorot Kumpulan G tanpa sebarang mata.
Meskipun berbaki dua perlawanan lagi, namun perbezaan sembilan mata dengan pasukan tangga kedua, Bangkok United menyebabkan skuad kendalian Christophe Gamel terkeluar dari persaingan merebut tiket ke pusingan kalah mati.
BACA LAGI: [VIDEO] 'Tujuh pemain dicadang buat KRW, apa salahnya Kelantan TRW pantas sailang?'
BACA LAGI: Rodrigo Holgado terima 'talian hayat', berpotensi sertai kelab lama andai kontrak batal

Selangor tersingkir dalam saingan ACL 2 selepas tewas 2-3 di tangan Persib Bandung. — Facebook/selangorfc
Fokus pasukan Lembah Klang itu kini pasti terarah kepada saingan peringkat domestik termasuk pertemuan separuh akhir pertama Piala FA menentang Sabah FC di tempat lawan pada Ahad.
Namun, moral yang cukup teruk pasti terkesan dengan tiada jaminan skuad Gergasi Merah mampu membawa pulang bekalan selesa meskipun pihak lawan tidaklah berada dalam prestasi terbaik.
Meskipun tidak berada dalam prestasi terbaik ketika ini, namun Sabah FC pastinya mahu mendapatkan bekalan yang cukup selesa pada aksi timbal balik di laman lawan nanti.
Oleh itu, tidak mustahil sekiranya skuad kendalian Daniel Jean-Paul De Marigny itu akan menampilkan persembahan cemerlang apatah lagi beraksi di hadapan penyokong sendiri.

Sabah FC turut memiliki barisan pemain berkualiti seperti Stuart Wilkin (dua dari kanan) dan Daniel Ting (kanan) yang mampu memberikan cabaran sengit kepada Selangor. — Facebook/sabahfc
1) Suntikan semangat di laman sendiri
Beraksi di gelanggang keramat sendiri memberi kelebihan besar buat Sabah FC yang bakal turun menentang Selangor FC dalam aksi separuh akhir Piala FA di Stadium Likas, Kota Kinabalu, Sabah.
Sokongan padu penyokong setia dijangka menjadi ‘senjata’ utama buat skuad kendalian De Marigny untuk memburu bekalan selesa menjelang aksi timbal balik nanti.
Sorakan ‘ekor’ Sang Badak diyakini mampu menyuntik motivasi tambahan buat pemain Sabah, apatah lagi Stadium Likas sering menjadi kubu kebal yang menyaksikan pelbagai kejayaan manis pasukan itu sebelum ini.
Dengan prestasi semasa yang memerlukan kebangkitan, kehadiran penyokong The Rhinos dalam jumlah besar dilihat penting bagi membantu pasukan Borneo itu menampilkan persembahan terbaik.
2) Mental Selangor dalam tekanan
Sabah turut mempunyai peluang keemasan untuk mengambil kesempatan terhadap kemerosotan moral dalam kem Selangor selepas kekalahan memalukan 2-3 kepada Persib Bandung dalam saingan Asia baru-baru ini.
Insiden penyokong Gergasi Merah yang bertindak memasuki padang di Stadium MBPJ jelas memperlihatkan tekanan yang dihadapi skuad kendalian Gamel, yang kini berdepan desakan hebat untuk memperbaiki prestasi di pentas domestik.
Keadaan itu secara tidak langsung boleh dimanfaatkan Sabah untuk memberi tekanan lebih awal kepada Selangor dan menguji ketahanan mental lawan mereka.
3) Peluang tebus diri dan tambat hati penyokong
Kemenangan ke atas Selangor bukan sahaja bakal membuka laluan ke pentas akhir, malah berpotensi mengembalikan keyakinan penyokong yang dilihat mulai tawar hati dengan prestasi pasukan.
Sabah ketika ini masih bergelut dalam saingan Liga Super tanpa sebarang kemenangan, malah tewas 1-2 kepada Selangor dalam aksi Liga Super pada 1 November lalu.
Oleh itu, aksi separuh akhir Piala FA kali ini menjadi medan terbaik buat Sang Badak untuk menebus kekecewaan dan membuktikan keupayaan sebenar mereka.

Sabah berpeluang memanfaatkan kemerosotan moral Selangor susulan kekalahan 2-3 kepada Persib Bandung baru-baru ini. — Facebook/selangorfc
4) Manfaatkan faktor keletihan lawan
Selain isu mental, faktor keletihan juga antara kelemahan yang boleh dimanfaatkan Sabah memandangkan Selangor baru menamatkan kempen ACL 2 mereka.
Prestasi Selangor yang menurun pada babak kedua ketika menentang Persib hingga dibolosi tiga kali membayangkan tahap kecergasan pemain mungkin terjejas.
Jika dimanfaatkan sebaiknya, Sabah berpeluang menekan benteng Gergasi Merah pada separuh masa kedua dan mencipta kelebihan menjelang aksi timbal balik nanti.
Dengan kelebihan beraksi di Stadium Likas serta sokongan padu penyokong sendiri, Sabah FC mempunyai peluang besar untuk bangkit semula.
Inilah detik terbaik buat Sang Badak menghidupkan kembali semangat juang mereka dalam kancah Piala FA. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
