ISU tunggakan gaji kembali menjadi perhatian selepas dua pasukan Liga Super, Kelantan TRW FC dan PDRM FC, dikenakan tindakan tegas oleh First Instance Body (FIB) di bawah Financial Fair Play (FFP) Liga Bola Sepak Malaysia (MFL).
Menurut Pengerusi FIB, Sheikh Mohd Nasir Mohd Sharif, tindakan itu diambil berikutan kegagalan kedua-dua kelab mematuhi arahan penyerahan laporan kewangan yang ditetapkan.
Jelas beliau, Unit FFP MFL dan FIB telah mengadakan mesyuarat rasmi penyerahan pertama 'In-Season' Financial Fair Play musim 2025-2026 secara dalam talian pada 10 November 2025.
BACA LAGI: 'Beli je tiket', saya sampai', besarnya dedikasi Amri Yahyah terhadap bola sepak Sabah
Semua kelab Liga Super diwajibkan menghantar Deklarasi Tunggakan atau Tiada Tunggakan setakat September 2025 serta penyata kewangan Ogos dan September 2025 sebelum tarikh akhir 16 Oktober 2025.
Namun hasil pemeriksaan mendapati Kelantan TRW FC dan PDRM FC masih mempunyai tunggakan gaji musim lalu dan perkara itu turut disahkan Persatuan Pemain Profesional Malaysia (PFAM) melalui kerjasama dengan FFP MFL.
"Untuk makluman, pemberian Lesen Kebangsaan untuk beraksi dalam Liga Super 2025-2026 kepada PDRM FC dan Kelantan TRW FC adalah berdasarkan semakan deklarasi serta penyelesaian tunggakan sehingga 31 Disember 2024 selaras dengan Peraturan Pelesenan Kelab MFL Edisi 2024-2025.
"Dalam pada itu, MFL juga tidak menerima sebarang Deklarasi Tunggakan atau Tiada Tunggakan daripada Kelantan TRW FC dan PDRM FC setakat September 2025 pada tarikh penyerahan iaitu 16 Oktober 2025.
"FFP MFL atas arahan FIB sebelum ini telah menghantar dua surat amaran kepada kedua-dua kelab tersebut bagi menuntut bukti pembayaran atau pelan pembayaran tunggakan, namun tiada sebarang penyelesaian terhadap tunggakan tersebut," jelasnya.
Selaras Artikel 14 Peraturan FFP MFL musim 2025-2026, kegagalan mematuhi keperluan pemantauan kewangan dianggap sebagai pelanggaran.
Susulan itu, FIB menjatuhkan denda pertama sebanyak RM10,000 kepada kedua-dua kelab dan memberi tempoh 14 hari untuk menyelesaikan tunggakan.
Kegagalan memberikan maklum balas membawa kepada denda kedua RM20,000, diikuti denda ketiga RM40,000serta larangan perpindahan pemainbagi jendela perpindahan kedua musim 2025-2026.
"Sehingga kini, FFP MFL tidak menerima sebarang resit pembayaran atau pelan pembayaran daripada Kelantan TRW dan PDRM FC. Oleh itu, tindakan lebih tegas telah diambil seperti termaktub dalam peraturan," jelas Sheikh Mohd Nasir.
FIB menetapkan 31 Disember 2025sebagai tarikh akhir untuk kedua-dua kelab menyelesaikan isu tunggakan.
Sekiranya gagal, tindakan lebih berat di bawah Artikel 14(1)(e) boleh dikuatkuasakan, termasuk hukuman tambahan yang lebih keras. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
