KELEBIHAN 2-1 mungkin nampak selesa di atas kertas, namun Sabah FC sedar saingan suku akhir Piala FA menentang Kelantan The Real Warriors (TRW) masih jauh perjalanannya.
Skuad The Rhinos akan membawa bekalan tipis itu ke aksi timbal balik kedua di Stadium Likas, Kota Kinabalu, Sabah pada Rabu dengan tekad untuk menamatkan tugas dan mengesahkan slot ke separuh akhir.
Mengetuai misi tersebut ialah penyerang import, Ajden Mujagic yang menjaringkan gol dalam aksi pertama dan berazam membantu pasukannya melangkah ke peringkat seterusnya.
BACA LAGI: Ambil peluang kecederaan Afro, Sabah ada peluang tundukkan Selangor di laman sendiri
BACA LAGI: Ibarat 'dijangkiti' wabak serupa, Sabah-Selangor berkongsi masalah sama punca merosot teruk
"Suasana dalam bilik persalinan sangat baik. Semua pemain fokus dan bermotivasi tinggi untuk mara ke separuh akhir.
"Kami tahu perlawanan belum berakhir, tetapi kami percaya pada kemampuan diri sendiri dan pasukan ini.
"Kami ambil langkah demi langkah dan memberikan yang terbaik dalam setiap sesi latihan," kata penyerang kelahiran Bosnia berusia 27 tahun itu.
Mujagic menjangkakan tentangan sengit daripada Kelantan yang menunjukkan semangat juang tinggi walaupun berdepan musim yang sukar.
"Kelantan bukan pasukan yang boleh dipandang ringan. Mereka kukuh dari segi pertahanan, tetapi saya percaya kami mempunyai kualiti yang cukup untuk mara.
"Kuncinya ialah kesabaran, fokus dan tumpuan penuh dari minit pertama hingga wisel penamat," tambahnya.
Walaupun skuad The Rhinos mempunyai kelebihan agregat, masih terdapat kebimbangan terhadap keupayaan penyudah pasukan itu di depan gawang.
Mujagic setakat ini telah menjaringkan dua gol dalam tiga perlawanan Piala FA, namun hanya satu gol dalam lima aksi Liga Super.
Namun begitu, pemain tinggi lampai itu kekal positif bahawa sentuhan penyudah akan kembali sebaik pasukan menemui rentak sebenar.
"Penyerang memang dinilai berdasarkan jumlah gol itu perkara biasa. Tapi yang paling penting ialah kami bekerjasama memperbaiki kelemahan dan meningkat sebagai satu pasukan.
"Bila pasukan bermain baik, gol akan datang dengan sendirinya.”
Bagi Mujagic, yang buat pertama kali beraksi di luar Eropah, pengalamannya bersama Sabah dianggap satu cabaran yang berbaloi.

Mujagic meledak tiga gol dalam sembilan perlawanan. — Facebook/SabahFC
Sejak tiba pada Julai lalu, dia cepat menyesuaikan diri dan kini menjadi antara pemain kesayangan penyokong.
"Saya boleh katakan tempoh saya di Sabah setakat ini baik, tapi saya tahu saya masih boleh jadi lebih baik.
"Orang di sini sangat baik dan mesra, itu banyak membantu saya menyesuaikan diri. Ini pengalaman pertama saya di Asia dan gaya permainannya berbeza tapi saya rasa saya semakin meningkat dari minggu ke minggu," katanya.
Penyokong Sabah pastinya berharap peningkatan itu berterusan pada Rabu apabila Mujagic dan rakan sepasukannya turun ke gelanggang dengan misi menukar kelebihan tipis 2-1 kepada tiket ke separuh akhir Piala FA. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
