LAWATAN Persib Bandung ke Malaysia untuk berdepan Selangor FC dalam Liga Juara-Juara AFC 2 (ACLTwo) pada 6 November menghasilkan kenangan manis buat penyokong.
Bukan saja menang di padang apabila mereka menumpaskan Selangor 3-2, penyokong mereka yang hadir ke Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Kelana Jaya turut berpuas hati dengan layanan yang berkualiti di gelanggang itu.
Menurut perkongsian penyokong Persib, Achmad Syams di Threads, dia jelas berpuas hati dengan layanan diperolehnya ketika di MBPJ.
BACA LAGI: Walaupun lambat panas 'enjin', Jairo kini dapat bayar semula kesabaran penyokong JDT
BACA LAGI: Kerap tukar jurulatih ganggu rentak pasukan, Selangor wajar laksana reformasi teknikal
Katanya yang sudah mengikuti Persib sehingga ke Thailand dan Malaysia, dia mengakui layanan di MBPJ adalah "next level" malah lebih baik daripada apa yang diperolehnya di Indonesia.
"MBPJ next level, daripada tiga stadium (Indonesia, Thailand, Malaysia), setakat ini tidak menyangka, tinggal imbas kod QR di kerusi, makanan akan dihantar terus. Tonton perlawanan bola sepak sambil makan minum dengan santai tak perlu susah payah.
"Kalau masuk di stadium Malaysia dan Thailand hanya imbas e-tiket, parkir kereta juga mudah di kawasan stadium.
"Tiada pergaduhan dengan penyokong Selangor, kerana tempat duduk diasingkan. Terima kasih Selangor," ujar Achmad.
Kualiti pengalaman hari perlawanan (matchday experience) ditonjolkan Selangor turut meraih perhatian penyokong Persib yang lain.
Kata mereka, usaha dilakukan Selangor cuba dibuat di Indonesia, malangnya pengikut bola sepak negara itu seakan tidak bersedia dengan pembaharuan yang dilakukan.
"Di Bandung pernah juga diterapkan sistem e-tiket tahun lalu tapi penyokong tak suka, menyusahkan katanya," kata Son Gohan.
"Kita boleh nak buat, cuma tak mahu saja. Bukan saja di stadium, tapi banyak perkara yang lebih cekap di Malaysia, kita boleh lakukannya tapi mungkin tak tahan lama. Kerana orang tak boleh menerima pembaharuan," jelas Rah Wira.
Usaha Selangor untuk memberikan pengalaman yang terbaik semasa menonton perlawanan di stadium dari segi makanan, tempat duduk dan sebagainya wajar diberikan pujian.
Namun begitu, elemen terpenting iaitu kualiti persembahan di padang haruslah bertaraf next level juga supaya penyokong tuan rumah tidak mensia-siakan masa hadir ke stadium.
"Pengurusan kelab nampak teratur. Cuma tu la, persembahan pemain atas padang kadang-kadang tak selari dengan peningkatan pengurusan kelab," kata Moeh Aito Naznan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
