HANGAT diperkatakan di media sosial apabila salah seorang penyokong tegar Kelantan Red Warriors tampil mencadangkan tujuh nama pemain yang wajar direkrut oleh pasukan itu menjelang jendela perpindahan Januari nanti.
Menurut pengguna akaun yang dikenali sebagai Zul Hafizam di laman Facebook itu, dia tertarik dengan cadangan yang diutarakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kelantan Red Warrior FC (KRWFC) Wan Mohd Fajarul Ekram yang berhasrat mahu membawa beberapa pemain baharu bersama kelab itu.
Terpanggil untuk memberikan cadangan, Zul Hafizam tampil membariskan tujuh pemain Liga Malaysia yang pernah memeriahkan kancah bola sepak tanah air sebelum ini.
BACA LAGI: Rodrigo Holgado terima 'talian hayat', berpotensi sertai kelab lama andai kontrak batal

Antara muka-muka baharu yang disarankan oleh Zul Hafizam buat pasukan KRW FC. — Facebook/kelantanredwarriorsfc
Menurutnya, menjelang jendela perpindahan kedua Januari nanti, dia berasakan tiba masanya KRW FC melakukan tindakan pantas untuk menyambar pemain baharu.
Malah, dia turut berpendapat agar pihak pengurusan memberi kebebasan kepada pengendali KRW FC, Irfan Bakti untuk memilih pemain baharu di posisi pertahanan dan serangan berdasarkan kriteria bersesuaian.
Hal ini kerana, dia berpandangan prestasi KRW FC yang kini bersaing dalam saingan Liga A1 Semi Pro itu bergelut di bahagian pertahanan dengan hanya Abdul Latiff Suhaimi merupakan pemain berpengalaman.
Jadi, dalam mengukuhkan barisan pertahanan, pengguna Facebook itu menyenaraikan tujuh pemain yang beraksi dalam posisi tersebut seperti bekas pertahanan Kuala Lumpur (KL) City FC, Nick Swirad dan Nafizuddin Fauzi yang sebelum ini pernah bersama Johor Darul Ta'zim (JDT) II.
Selain itu, Jeremy Lim yang pernah bersama Petaling (PJ) City FC, Syazwan Tajudin yang tidak bersama mana-mana kelab serta Ashmawi Yakin yang cukup berpengalaman dalam Liga Super turut diketengahkan.

Skuad bimbingan Irfan Bakti kini dilihat memerlukan nafas baharu menjelang jendela perpindahan Januari ini. — Facebook/kelantanredwarriorsfc
Bagi menambah baik kualiti di posisi sayap, pengguna Facebook itu meletakkan dua ejen bebas, Che Safwan Hazman serta Faisal Rosli sebagai sasaran relevan buat KRW FC.
Walaupun hantaran Zul Hafizam tersebut jelas ditujukan kepada KRW FC yang kini berada dalam zon pertengahan Liga A1 Semi Pro, namun ia bukanlah alasan untuk Kelantan TRW tidak cuba mendapatkan khidmat masing-masing.
Ini kerana sebuah lagi pasukan berpangkalan di Pantai Timur, Kelantan The Real Warriors (TRW) dalam saingan Liga Super turut memerlukan perubahan dalam posisi pertahanan.
Penambahan itu wajar kerana skuad kendalian Akmal Rizal Ahmad Rakhli terlalu mudah dibolosi sehingga menyaksikan mereka kini berada di pertengahan carta.

Kelantan TRW dijangka membawa masuk wajah baharu menjelang jendela perpindahan akan datang. — Facebook/therealwarriors
Usaha tersebut turut diluahkan salah seorang individu yang dipercayai pengurus pasukan susulan kekalahan kepada Kuala Lumpur (KL) City FC yang memberikan penjelasan bahawa pasukan itu akan didatangi pemain baru pada jendela perpindahan Januari nanti.
Menerusi satu video yang dikongsikan di media sosial, individu tersebut memberi harapan kepada 'ekor' Kelantan TRW agar bertenang sambil menunggu jendela perpindahan yang mungkin memberi khabar gembira kepada pasukan itu.
Dengan senarai tujuh pemain berpengalaman yang kini tanpa kelab, tidak mustahil jika pengurusan Kelantan TRW mengambil peluang untuk memperkuat skuad mereka menjelang aksi separuh kedua musim ini.
Perebutan antara kedua-dua kelab berpangkalan di Kelantan itu sudah tentu menarik untuk disaksikan kerana masing-masing perlu membawa masuk wajah baharu demi kelangsungan dalam pertandingan tersendiri. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
