PERTEMBUNGAN hangat disaksikan antara Selangor FC dan Negeri Sembilan FC apabila sekali lagi bertemu dalam suku akhir kedua Piala FA pada Rabu di Stadium MBPJ, Selangor yang mengesahkan kemaraan tuan rumah ke peringkat seterusnya.
Ini selepas skuad Gergasi Merah merekodkan agregat 6-3 ke atas pasukan pelawat meskipun tewas di laman sendiri 2-3 yang menceritakan pelbagai isu perlu diperbaiki pengendalinya, Cristophe Gamel.
Tetapi, sayangnya, perlawanan berkenaan tidak menjadi topik perbincangan hangat dalam kalangan penyokong selepas masing-masing lebih memberi tumpuan ke arah kekecohan yang berlaku selepas 90 minit aksi.
BACA LAGI: Sudah terbukti di MBPJ, JDT perlu waspada bisa 3 bintang Bangkok United
BACA LAGI: Rekod 2024/25 boleh berulang , MBPJ jadi saksi Selangor buat Sang Penyu menangis
Dalam beberapa rakaman tular di media sosial ketika ini, penyokong Selangor FC dan Negeri Sembilan FC pada awalnya bertikam lidah semasa perlawanan masih berlangsung kerana kedudukan mereka yang berhampiran antara satu sama lain.
Lebih mengejutkan lagi, turut kedengaran letupan mercun ketika pertelingkahan berkenaan yang menghangatkan lagi keadaan dengan kehadiran pihak berkuasa gagal meredakan suasana.
Situasi menjadi lebih tegang apabila peminat kedua-dua pasukan cuba bertembung antara satu sama lain, namun pagar memisahkan antara satu sama lain berjaya mengelak insiden lebih teruk.
Ketegangan tidak terhenti di situ apabila penyokong turut kelihatan bertempur di luar stadium selepas tamat perlawanan sehingga masing-masing terpaksa dileraikan pihak polis.
Malah, dalam beberapa rakaman lain, turut kelihatan pihak polis menahan individu yang terlibat dalam rusuhan itu sebelum keadaan mula reda.

Skuad Gergasi Merah memastikan slot ke separuh akhir Piala FA menerusi agregat 6-3. — Facebook/Selangor FC
Melihat kepada perkongsian penonton yang hadir ke stadium, situasi tegang tersebut tercetus selepas kumpulan casual kedua-dua kelab melakukan provokasi sebelum penyokong lain turut terlibat.
Setakat ini, pihak polis belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung kekecohan di luar dan di dalam stadium tersebut serta jumlah individu terlibat yang ditahan.
Tiada sebarang kenyataan turut dikongsikan mengenai individu yang mengalami kecederaan akibat insiden itu, namun terdapat sekeping foto dimuat naik memaparkan penyokong sedang menerima rawatan akibat pendarahan.
Aksi provokasi dalam arena bola sepak perlu dibendung kerana sebarang bentuk keganasan boleh mengakibatkan risiko besar, lebib-lebih lagi terhadap penyokong yang tidak bersalah.
Kemaraan Selangor FC ke separuh akhir Piala FA 2025/26 bakal menyaksikan mereka berdepan Sabah FC yang mengesahkan tiket ke peringkat tersebut susulan kejayaan ke atas Kelantan The Real Warriors (TRW). — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
