HUKUMAN dikenakan FIFA ke atas Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) terus menjadi topik perbualan peminat sukan itu dalam negara mahupun sekitar Asia Tenggara.
Manakan tidak, skandal itu mencerminkan bagaimana skuad kebangsaan mengambil jalan pintas dalam merebut slot ke Piala Asia 2027.
Bagaimanapun, selepas FIFA mendapati dokumen diserahkan FAM adalah palsu, hukuman berbentuk denda dan penggantungan terus diberikan ke atas mereka yang terlibat.
BACA LAGI: Ahmad Shahrul Azhar, bekas CEO antara 3 nama sesuai ganti Bobie teraju Perak FC
BACA LAGI: 'Pakar bola sepak konon', Bobie Farid buktikan kata jurulatih misteri salah tentang Lucho

Hukuman FIFA ke atas FAM mencalarkan imej arena bola sepak negara.
Skandal berkenaan tidak terhenti di situ apabila dokumen demi dokumen didedahkan FIFA menunjukkan pelbagai masalah dan salah laku dalam arena bola sepak tempatan.
Kemelut berkenaan kemudiannya menjadi bahan bualan dalam kalangan pengikut setia negara, termasuk daripada bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Interim Perak FC, Bobie Farid Shamsudin.
Dalam sebuah hantaran menerusi akaun Facebook Ariesham, dia mempersoalkan isu melibatkan skandal terbabit, termasuk berhubung pemberian kewarganegaraan.
"Isu warga negara pula jauh lebih sensitif sebab ia menyentuh perlembagaan negara, bukan isu remeh-temeh. Tetapi, kerana terdesak nak 'express result', maka hadirlah mat salih yang dibayar berjuta-juta ringgit.

Bobie Farid juga tidak terkecuali daripada memberi pandangan berhubung skandal itu.
"Untuk apa sebenarnya? Untuk layakkan kita ke Piala Asia? Untuk nampakkan martabat bola negara naik? Adakah ini cara yang betul atau sekadar jalan pintas untuk tutup kegagalan sendiri?" soalnya.
Meskipun hanya bergelar CEO Interim Perak FC untuk kira-kira tiga tahun, Bobie Farid sudah memahami selok-belok arena bola sepak negara.
Ini kerana sepanjang bersama kelab itu, dia mempelajari masalah dalaman yang pada akhirnya menyukarkan hasrat pengurusan meneruskan kelangsungan pasukan.
Malah, di ruangan komen, Bobie Farid turut sempat melontarkan pandangan dengan menjawab persoalan Azhimm AJ berhubung campur tangan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan kerajaan.

Penjelasan diberikan Bobie berhubung maksud campur tangan yang dimaksudkan.
"Maksud campur tangan di sini ialah dengan prosiding FIFA. Namun, sebagai menteri, mereka boleh buat siasatan dalaman untuk memastikan tiada penipuan dokumen rasmi atau bagi warganegara secara tidak sah.
"FAM ialah persatuan sukan dan ia di bawah kawal selia KBS dan PJS (Pesuruhjaya Sukan). Kita bukan suruh kementerian campur urusan FIFA, tetapi urusan negara," katanya.
Perkembangan terbaru melibatkan skandal itu adalah berkaitan penegasan FIFA yang menyatakan siasatan mendalam perlu dibuat ke atas FAM.
Ini bagi mengenal pasti individu bertanggungjawab dalam penghantaran dokumen berhubung skandal pemain warisan yang jelas mencalarkan imej negara. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
