Jangan bunuh bola sepak kita — Safee Sali


  • Podium
  • Khamis, 20 Nov 2025

Skuad Harimau Malaya terpaksa beraksi tanpa tujuh pemain warisan dalam kempen Kelayakan Piala Asia 2027 selepas mereka digantung oleh FIFA. — Facebook/Malaysia NT

BEKAS penyerang kebangsaan, Safee Sali menggesa Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) agar mengutamakan usaha untuk menyelamatkan bola sepak negara selepas badan induk itu meneruskan tindakan membawa kes FAM dengan Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS).

Safee berkata, langkah yang sedang diambil FAM boleh memberi kesan besar terhadap imej dan masa depan bola sepak Malaysia di peringkat antarabangsa.

“Kita tidak boleh membunuh bola sepak begitu sahaja,” katanya dengan nada tegas.

BACA LAGI: Berbeza dengan Selangor dan TFC, skuad Jang bukti tak perlukan TD, cukup miliki figura cekap bola sepak

BACA LAGI: Tertipu tawaran kontrak bola, kiper muda Indonesia jadi mangsa pemerdagangan manusia di Kemboja

Menurutnya, sebarang penggantungan atau krisis berkaitan kes tersebut mampu memberi impak luas kepada pelbagai pihak bukan hanya mereka yang terlibat secara langsung.

Bekas Presiden Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) itu turut mendedahkan bahawa pemain tempatan sudahpun terkesan sebelum penglibatan rasmi FIFA dan sebarang perkembangan tambahan daripada keputusan itu hanya akan menambah beban kepada para pemain.

“Kita mesti cintakan bola sepak dan sukan ini. Keutamaan kita adalah negara,” ujarnya.

Bekas penyerang Harimau Malaya, Safee Sali. — Instagram/supersafee_10

Safee dalam masa sama terus mendesak supaya semua pihak yang terbabit dipertanggungjawabkan, susulan keputusan terperinci FIFA yang membabitkan isu antara pemain, FAM dan ejen.

“Sebagai rakyat Malaysia, sudah tentu saya kecewa dengan keputusan ini,” katanya lagi.

Pemenang Piala AFF Suzuki 2010 itu menyeru seluruh ekosistem bola sepak negara untuk menjadikan insiden tersebut sebagai pengajaran dan memastikan ia tidak berulang.

“Kita perlu betulkan keadaan ini. Sesiapa yang bersalah mesti dipertanggungjawabkan,” tegasnya.

Mengulas laporan yang menyatakan bahawa pemain menyerahkan sepenuhnya urusan kepada ejen tanpa memenuhi tanggungjawab profesional, Safee berkata, dia terkejut bahawa pemain bertaraf profesional tidak membaca atau memahami kontrak mereka sendiri.

Dia menegaskan bahawa setiap pemain harus melakukan semakan sewajarnya dan bersikap lebih peka terhadap dokumen yang mereka tandatangani.

Baru-baru ini, FAM mengesahkan telah menerima dokumen alasan penuh keputusan FIFA yang mengekalkan penolakan rayuan mengenai status kelayakan tujuh pemain warisan Harimau Malaya.

Susulan itu, FAM bakal membawa kes tersebut ke CAS bagi menegakkan keadilan dan mempertahankan integriti proses kelayakan pemain yang ditetapkan oleh kerajaan serta agensi berkaitan.

Pada September lalu, Jawatankuasa Tatatertib FIFA mengenakan denda CHF350,000 (kira-kira RM1.8 juta) terhadap FAM, manakala tujuh pemain masing-masing dikenakan denda CHF2,000 (RM10,600) serta digantung daripada semua aktiviti berkaitan bola sepak selama 12 bulan susulan dakwaan pemalsuan dokumen.

Tujuh pemain warisan tersebut yang kini digantung ialah Gabriel Palmero, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel. — The Star/T.AVINESHWARAN

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram