'Pakar bola sepak konon', Bobie Farid buktikan kata jurulatih misteri salah tentang Lucho


  • Podium
  • Ahad, 29 Sep 2024

Guaycochea menghasilkan dua gol ketika bertemu Sri Pahang.

NAMA Luciano Guaycochea nyata menjadi watak penting buat skuad Perak FC pada musim ini dan ia terbukti ketika bertemu Sri Pahang FC.

Dalam aksi Liga Super yang diadakan pada Sabtu di Temerloh, Guaycochea menghasilkan persembahan sempurna apabila menghasilkan dua gol.

Dua gol daripada pemain import itu membantu Perak menang 3-0 ke atas Sri Pahang dengan satu gol lagi terhasil menerusi Firdaus Saiyadi.

BACA LAGI: Sorakan mak cik petir tak berjaya halang Perak pesta gol di Temerloh

BACA LAGI: 'Terima kasih TMJ', aksi cemerlang Haziq Nadzli buat fans Perak tersentuh

Melihat kepada persembahan cemerlangnya itu, ia menarik perhatian bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perak, Bobie Farid Shamsudin untuk memberikan komen berkenaan Guaycochea.

Kata Bobie, dia tidak pernah menyesal mengenali pemain itu walaupun sebelum ini, bekas CEO itu perlu 'berperang' dengan jurulatih misteri mengenai kebolehan Guaycochea.

"Saya pernah bergaduh besar dengan seorang jurulatih ini yang mengatakan dia (Guaycochea) tidak akan bermain bola dalam hidupnya lagi. Saya sangat marah kerana jurulatih itu berfikir seperti dia adalah tuhan. Sekarang lihatlah, pakar bola sepak konon.

"Saya rasa sangat berbangga dapat berjumpa Lucho dalam kehidupan bola sepak saya," kata Bobie.

Setakat ini, Guaycochea sudah menghasilkan lima gol untuk Perak dalam lapan penampilan Liga Super. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram