Apa jua keputusan, moga pasukan dapat beraksi di Piala Asia — Faisal Halim


  • Podium
  • Khamis, 20 Nov 2025

Faisal Halim (tengah) beraksi pada aksi kelayakan Piala Asia 2027 menentang Nepal di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur, pada Selasa.

BINTANG sayap negara, Faisal Halim menegaskan Harimau Malaya tidak boleh tenggelam dalam isu penggantungan tujuh pemain oleh FIFA, sebaliknya perlu memberi tumpuan penuh untuk mengesahkan tiket ke Piala Asia 2027.

Menurut pemain berusia 27 tahun itu, kegagalan layak ke pentas berprestij Asia pastinya satu tamparan besar, namun semua pemain komited menamatkan kempen kelayakan dengan keputusan terbaik.

"Sebagai pemain, kita mahu beraksi di pentas tertinggi. Apa jua keputusan nanti, kami berdoa yang terbaik supaya pasukan dapat beraksi di Piala Asia.

BACA LAGI: Ketajaman beraksi di tempat lawan, penyerang JDT-Kuching-NSFC gemar buat penyokong tuan rumah 'menangis'

BACA LAGI: Walau apa berlaku kepada 7 pemain itu, kami tetap sokong — Faisal Halim

"Jadi kami hanya teruskan apa yang sedang kami lakukan," katanya.

Faisal yang meledak gol kemenangan ketika Malaysia menewaskan Nepal 1-0 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada Selasa mengakui sebarang kemungkinan penyingkiran atau pembatalan kempen pasti sukar diterima.

"Kalau disingkirkan atau kempen dibatalkan, sudah tentu kami kecewa kerana momentum pasukan sekarang sangat baik, menang semua perlawanan kelayakan.

Malaysia's Faisal Halim during a qualifier match for the AFC Asian Cup Saudi Arabia 2027 against Nepal's at the National Stadium Bukit Jalil in Kuala Lumpur, on Tuesday, November 18, 2025.— MUHAMAD SHAHRIL ROSLI/The Star

Bintang sayap negara, Faisal Halim.

"Kami ada satu lagi perlawanan untuk mengakhiri kempen ini dan menentukan sama ada layak ke Piala Asia atau tidak," katanya.

Faisal turut menegaskan skuad negara tetap berdiri teguh di belakang tujuh rakan sepasukan yang dikenakan tindakan.

"Apa pun yang berlaku kepada mereka, kami tetap beri sokongan dan doa. Siapa yang berada dalam pasukan sekarang perlu beri yang terbaik. Komitmen kena sentiasa ada," katanya.

Kemenangan tipis ke atas Nepal itu melanjutkan rekod tanpa kalah Malaysia kepada lapan perlawanan tahun ini iaitu tujuh menang dan satu seri sambil mengekalkan rekod sempurna dalam kempen kelayakan.

Harimau Malaya kekal unggul di tangga teratas Kumpulan F dengan 15 mata selepas lima perlawanan dan hanya memerlukan keputusan seri menentang Vietnam pada 31 Mac tahun depan untuk mengesahkan tempat ke Piala Asia 2027.

Namun, perjalanan Malaysia boleh menjadi rumit bergantung kepada tindakan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) sekiranya penggantungan FIFA itu gagal diketepikan di Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS).

Dalam perlawanan menentang Nepal itu, kumpulan penyokong Ultras Malaya turut meluahkan rasa tidak puas hati dengan menaikkan kain rentang bertulis,'Jangan gadaikan maruah negara, maruah ini bukan untuk digadai. Selesaikan segera'.

Mereka turut melaungkan nama Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Harimau Malaya, Rob Friend serta Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dengan beberapa sorakan berbaur provokasi, namun keadaan kekal terkawal selepas dipantau ketat oleh anggota keselamatan. — The Star/ T. AVINESHWARAN

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram