Skandal pemain warisan: FAM tetap bawa kes ke CAS, komited tegakkan keadilan


  • Podium
  • Selasa, 18 Nov 2025

FAM tetap akan membawa kes tersebut ke CAS untuk mencari 'keadilan'.

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) tetap akan membawa kes skandal pemain warisan ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) selepas menerima alasan penuh (motivated decision) oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Dalam kenyataan dikeluarkan pada Selasa, FAM menerusi pemangku presidennya, Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi berkata yang badan induk itu komited untuk 'menegakkan keadilan'.

Tindakan membawa kes itu ke CAS adalah untuk memastikan tahap integriti proses kelayakan pemain yang ditetapkan oleh kerajaan dapat dipertahankan.

BACA LAGI: [VIDEO] Jurulatih Nigeria naik angin, dakwa lawan guna ilmu hitam punca tak layak ke Piala Dunia

BACA LAGI: Tak semuanya mudah, Faisal Halim antara 3 bintang HM berjaya bangkit hadapi 'mimpi ngeri'

"FAM akan memulakan proses untuk membawa kes ini ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (Court of Arbitration for Sport, CAS).

"Langkah ini diambil bagi memastikan keadilan dapat ditegakkan serta mempertahankan integriti proses kelayakan pemain yang telah ditetapkan oleh Kerajaan Malaysia serta badan-badan berkaitan.

"FAM tetap komited memperjuangkan hak semua pemain yang layak mewakili negara dan akan memastikan setiap tindakan diambil secara profesional, telus serta mengikut saluran undang-undang yang sewajarnya," ujar FAM.

FAM ada 21 hari untuk membawa kes tersebut ke CAS.

Terdahulu, FIFA dalam alasan penuhnya mengatakan FAM dan tujuh pemain warisan melakukan kesalahan serius di bawah Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA (FDC), sekali gus mengekalkan semua hukuman yang telah ditetapkan sebelum ini

FAM dalam rayuannya mengatakan yang terdapat kesilapan teknikal dan pentadbiran termasuk kekeliruan antara salinan dokumen tidak rasmi yang diperoleh melalui ejen dengan salinan rasmi daripada pihak berkuasa pendaftaran.

Akan tetapi, FIFA mendapati terdapat dokumen yang diberikan berada dalam keadaan sudah diubah suai terutamanya sijil kelahiran datuk dan nenek para pemain yang tidak sepadan dengan dokumen asal.

FIFA turut mengatakan tindakan tersebut 'mencemar kredibiliti' bola sepak antarabangsa. — Majoriti 

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram