Digital Sabah RM2 bilion: MCMC jamin bukan sekadar janji atas kertas


  • Massa
  • Selasa, 18 Nov 2025

Sabah menerima RM2 bilion dana untuk memajukan fasiliti digital di negeri itu.

SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memberi jaminan lebih RM2 bilion yang diperuntukkan kerajaan persekutuan untuk Sabah bukan sekadar angka besar yang dilaungkan, tetapi melibatkan projek yang sedang berjalan serta bakal memberikan impak langsung kepada rakyat negeri itu.

Penegasan itu dibuat susulan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang Sabah menerima suntikan besar bagi menaik taraf infrastruktur digital, termasuk perluasan capaian Internet dan pembangunan bandar pintar.

Antara projek berskala besar yang menjadi tumpuan ialah pembangunan Bandar Raya Pintar Kota Kinabalu, hasil kerjasama MCMC dan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) yang ditandatangani pada Disember 2024.

BACA LAGI: [VIDEO] Jaga-jaga Nepal! Luqman Hakim pernah 'gegarkan' Asia kali terakhir beraksi di Bukit Jalil

BACA LAGI: [VIDEO] Cubaan ulangi semula ‘Stairway to Heaven’ gagal, syarikat automatif China mohon maaf

NADI menjadi pintu gerbang digital buat rakyat di pedalaman.

MCMC menegaskan pihaknya komited memastikan kesemua projek ini diterjemahkan kepada manfaat nyata untuk rakyat Sabah bermula daripada kualiti rangkaian, kestabilan sambungan, keselamatan dalam talian hingga pembangunan bandar pintar yang memacu pertumbuhan ekonomi setempat.

"Fokus kami adalah impak sebenar kepada rakyat, bukan sekadar angka. Ini adalah komitmen jangka panjang untuk memastikan Sabah tidak lagi ketinggalan dalam pembangunan digital negara," menurut MCMC dalam kenyataan pada Selasa.

Projek bandar raya pintar bernilai lebih RM300 juta itu merangkumi perluasan rangkaian gentian optik, penyediaan Wi-Fi awam di lokasi strategik, pemasangan smart poles berintegrasi 4G dan 5G, sistem CCTV pintar yang dipaut terus ke Integrated Operations Center (IOC) untuk kawalan keselamatan masa nyata (real time).

Langkah ini dijangka mengubah ekosistem perbandaran Kota Kinabalu dengan perkhidmatan yang lebih responsif, pantas dan berasaskan data.

Bagi merapatkan jurang digital, fasa Jendela 2 menambah 800 lokasi baharu dengan kos keseluruhan RM1.4 bilion, meliputi pembangunan dan operasi selama lima tahun.

Keutamaan diberikan kepada kawasan luar bandar dan pulau yang sebelum ini bergelut dengan capaian Internet tidak stabil.

Inisiatif ini dijangka memanfaatkan 3.7 juta penduduk, dengan sasaran mencapai liputan 100 peratus di kawasan berpenduduk.

Dalam masa yang sama, kerajaan turut menyalurkan Internet gentian optik ke Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) di kem-kem ATM seluruh Sabah melalui projek Fiber-to-the-home (FTTH).

Setakat ini, sebanyak sembilan kem tentera menerima kemudahan tersebut yang melibatkan 6,900 kediaman dengan kos sekitar RM14.2 juta.

Kerajaan juga memastikan yang penduduk di pedalaman tidak ketinggalan menerusi operasi Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI).

Setakat September 2025, 131 NADI sudah beroperasi di Sabah dengan kos RM210 juta bagi tempoh lima tahun.

Pusat NADI berfungsi sebagai ruang pembelajaran digital yang menyediakan akses Internet percuma, latihan kemahiran asas digital, perkhidmatan atas talian, program literasi digital untuk desa dan pedalaman.

MCMC menjelaskan pusat ini menjadi 'pintu masuk digital' bagi komuniti luar bandar, memastikan mereka dapat menyertai ekonomi berasaskan maklumat. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram