Tak semuanya mudah, Faisal Halim antara 3 bintang HM berjaya bangkit hadapi 'mimpi ngeri'


  • Podium
  • Selasa, 18 Nov 2025

Faisal Halim (tengah) yang pernah menjadi mangsa simbahan asid bangkit dengan semangat luar biasa demi meneruskan kariernya dalam arena bola sepak. — Facebook/Malaysia NT

BERDEPAN masalah kecederaan merupakan antara mimpi ngeri yang cuba dielakkan oleh setiap pemain bola sepak.

Bukan sahaja menjejaskan prestasi dan momentum, kecederaan serius juga mampu mengubah hala tuju karier seseorang pemain, malah ada yang terpaksa melupakan terus impian beraksi di pentas profesional.

Selain kecederaan, beberapa pemain turut berdepan cabaran lain seperti isu peribadi dan tekanan luar padang yang menggugat kelangsungan mereka dalam sukan ini.

BACA LAGI: Tak terkesan ‘rumors’ tinggalkan HM, Cklamovski tekad terus bantu skuad kebangsaan

BACA LAGI: Jodoh Cklamovski bersama Harimau Malaya masih kuat, katanya takkan terlerai selepas jumpa Nepal

Namun di sebalik ujian tersebut, terdapat pemain yang bangkit menempuhi dugaan dan kembali menunjukkan taring, sekali gus membuktikan bahawa semangat juang dan tekad mampu mengatasi segala rintangan.

Dalam senarai itu, tiga pemain tempatan tampil mencuri tumpuan selepas berjaya membuat kebangkitan luar biasa demi meneruskan karier dan impian mereka dalam kancah bola sepak tanah air.

1. Faisal Halim

Kapten Selangor FC, Faisal Halim pernah mengalami detik hitam dalam hidupnya apabila diserang dan disimbah asid oleh individu tidak dikenali pada 5 Mei 2024 menyebabkan kecederaan serius pada wajah dan badannya.

Pemain sayap skuad Harimau Malaya itu terpaksa menjalani beberapa pembedahan bagi merawat kerosakan kulit dan tisu.

Proses pemulihannya mengambil masa yang panjang termasuk terapi fizikal dan rawatan susulan untuk memulihkan kembali mukanya.

Meskipun perkara itu ibarat mimpi ngeri buatnya namun Faisal atau mesra disapa Mickey itu perlahan-lahan kembali pulih dan akhirnya mampu menyambung kehidupan serta karier bola sepaknya.

Mickey kini sering menjadi pilihan utama untuk mengemudi serangan di posisi sayap. Facebook/Malaysia NT

Pada 10 Ogos 2024, pemain sayap lincah itu kembali ke atas padang selepas berehat panjang.

Pada musim 2024, Mickey tampil sebanyak 19 perlawanan bersama Gergasi Merah dan mencetak tiga gol serta satu hantaran bantuan dalam saingan peringkat domestik dan Asia.

Kini, Mickey lebih berbisa apabila mencatatkan 18 penampilan bersama Selangor dengan mencetak tujuh gol dan lima hantaran bantuan setakat ini dalam saingan Liga Malaysia bagi musim 2025.

2. Brendan Gan

Bekas tonggak Selangor FC, Brendan Gan menerima kejutan besar dalam hidupnya apabila disahkan menghidap kanser testis pada 26 Julai 2021.

Pemain berketinggian 1.78 meter itu segera menjalani pembedahan dan rawatan susulan termasuk kemoterapi yang memaksanya berehat panjang daripada bola sepak.

Sepanjang proses rawatan, Brendan berdepan keletihan, perubahan fizikal dan tekanan emosi namun semangatnya tidak pernah luntur.

Sokongan keluarga, rakan sepasukan, kelab dan para penyokong menjadi kekuatan utama yang membantunya terus bertahan.

Dengan disiplin tinggi, dia menjalani pemulihan fizikal secara berperingkat hingga kembali cergas dan kembali beraksi bersama pasukan.

Brendan Gan sebelum ini merupakan tonggak utama skuad kebangsaan.Instagram/brendangan

Selepas hampir setahun menjalani rawatan intensif, Brendan akhirnya pulih daripada kanser dan kembali bermain pada 19 Jun 2022.

Selain itu, Brendan juga pernah mengalami dua kecederaan ACL iaitu masing-masing pada 2015 dan 2016 ketika bersama Kelantan.

Namun, Brendan bukanlah individu yang mudah mengalah apabila dia bangkit semula dan telah membantu pasukan Perak menjulang Piala Malaysia pada 2018.

Kini berusia 37 tahun, Brendan masih aktif di atas padang bersama kelab divisyen bawahan Australia, Sutherland yang merupakan antara pasukan terawal pernah diwakili dalam kariernya.

3. Syihan Hazmi

Penjaga gol Johor Darul Ta'zim (JDT), Ahmad Syihan Hazmi pernah berdepan detik sukar dalam kariernya apabila dikenakan tempoh penggantungan 20 bulan daripada terbabit dalam sebarang aktiviti bola sepak oleh Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) pada 2018.

Ia susulan Syihan gagal dalam ujian doping ketika menyertai Kejohanan Bola Sepak Bawah 23 AFC di China.

Syihan sebelum ini didakwa positif metabolite methandienone iaitu sejenis bahan larangan dalam senarai Agensi Anti-Doping Dunia (WADA) dalam ujian sampel A yang diambil pada 10 Januari 2018.

Syihan Hazmi kini merupakan penjaga gol utama JDT dan skuad Harimau Malaya. Facebook/Malaysia NT

Sepanjang penggantungan, penjaga gol utama skuad Harimau Selatan itu banyak membantu isterinya dalam perniagaan.

Selepas tamat tempoh penggantungan, dia akhirnya menyertai Petaling Jaya City FC pada musim 2020.

Detik itu menjadi detik kebangkitan Syihan untuk berjaya sehingga kini menjadi penjaga gol nombor satu bukan sahaja JDT namun skuad Harimau Malaya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram