IMPIAN seorang remaja perempuan yang menghidap sakit jantung kronik, Nurjannatul Syifa Ismail, untuk bertemu bintang Johor Darul Ta’zim (JDT), Arif Aiman Hanapi akhirnya menjadi kenyataan apabila pemain itu menziarahinya di rumah pada Jumaat.
Kehadiran Arif Aiman, dikongsikan menerusi beberapa video pendek di akaun TikTok @Miabee1212 milik ibu remaja berkenaan, yang memaparkan detik pemain sayap itu meluangkan masa bersama Nurjannatul Syifa.
"Alhamdulillah, akhirnya hajat kakak nak jumpa Arif Aiman tercapai. Terima kasih kerana sudi meluangkan masa menziarahinya. Semoga ALLAH membalas kebaikan Arif," kata ibunya.
BACA LAGI: Piala FA: Aksi terbesar dalam sejarah Kuching City, usah terlalu hormati JDT
Dalam kunjungan tersebut, Arif Aiman turut menghubungi penjaring terbanyak Liga Super, Bergson da Silva, menerusi panggilan video untuk menggembirakan lagi remaja tersebut.
Pemain berusia 23 tahun itu turut menghadiahkan dua helai jersi termasuk jersi Harimau Malaya yang ditandatangani sendiri kepada Nurjannatul Syifa.
Menurut ibunya, kehadiran Arif Aiman memberi kekuatan baharu kepada anaknya untuk meneruskan perjuangan melawan penyakit yang dihidapi.
Lebih manis lagi, Arif Aiman turut menyampaikan doa buat remaja itu dalam rakaman video yang tular.
"Saya doakan kakak (Nurjannatul Syifa) jadi lebih kuat daripada orang biasa," katanya.
Sementara itu, ruangan komen di media sosial dibanjiri reaksi positif netizen yang tumpang gembira dengan pertemuan tersebut.
Seorang pengguna, Amalia Rahman, menyifatkan detik itu sebagai saat yang dinanti-nantikan.
"Allahuakbar... saya ternanti-nanti saat ini. Akhirnya kakak dapat jumpa Arif Aiman," tulisnya.
Manakala Rararararara berharap Nurjannatul Syifa segera sembuh dan mengakui mula mengenali Arif Aiman selepas mengikuti kisah remaja tersebut.
"Happy kakak dah dapat jumpa Arif Aiman! Saya tak kenal pemain bola pun, kenal pun sebab kakak. Semoga cepat sembuh," tulisnya.
Pengguna lain, HZ76, merakamkan penghargaan kepada pemain itu kerana menunaikan impian Nurjannatul Syifa, selain mendoakan Arif Aiman.
"Terima kasih Arif Aiman sebab tunaikan impian kakak. Mesti dia sangat gembira… kami pun tumpang gembira. Semoga Arif terus konsisten dan berjaya," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
