NASIB penyerang Argentina, Rodrigo Holgado, terus menjadi kelam apabila kelabnya di Colombia, America de Cali, dilaporkan sedang dalam proses menamatkan kontrak pemain berusia 28 tahun itu.
Wartawan sukan Colombia, Pipe Sierra menerusi satu perkongsian di platform X pada Rabu berkata, langkah itu diambil selepas keputusan terkini dikeluarkan oleh Jawatankuasa Rayuan FIFA.
"America, melalui peguamnya, sedang memajukan proses penamatan kontrak Rodrigo Holgado selepas menerima maklum balas daripada Jawatankuasa Rayuan FIFA," katanya.
Pada Isnin, badan bola sepak antarabangsa itu memaklumkan rayuan dikemuakan FAM ditolak yang menyaksikan tujuh pemain, termasuk Holgado akan terus digantung.
Bagaimanapun, perkembangan terbaru tersebut tidak mematahkan semangat badan induk bola sepak negara yang dilaporkan sedang mempersiapkan kes mereka untuk dibawa ke peringkat seterusnya di Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS).
#América, por medio de sus abogados, adelanta el trámite para la rescisión contractual de Rodrigo Holgado (28), tras la respuesta de la Comisión de Apelación de la FIFA
Por su parte, la Federación de Malasiaprepara su caso para la siguiente instancia: el TAS pic.twitter.com/vz7Z0ayLr1
— Pipe Sierra (@PSierraR) November 5, 2025
Untuk info, Holgado yang sudah menyarung jersi America de Cali sejak musim 2024 sudah menjaringkan 18 gol dan lima bantuan jaringan dalam 77 perlawanan dia diberi kepercayaan.
Holgado sebelum ini antara tujuh pemain warisan Harimau Malaya yang digantung FIFA selepas didapati melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA (FDC) berhubung isu pemalsuan dokumen.
Dalam keputusan yang diumumkan, FIFA mengekalkan hukuman denda sebanyak CHF350,000 (kira-kira RM1.8 juta) terhadap FAM selain penggantungan 12 bulan serta denda CHF2,000 (sekitar RM10,800) setiap seorang ke atas tujuh pemain terbabit atas kesalahan melanggar Artikel 22 Kod Disiplin FIFA berkaitan pemalsuan dokumen.
Selain Holgado, mereka lain yang terlibat ialah Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Tomas Garcsa, Imanol Javier Machuca, Joao Vitor Brandao Figueiredo, Jon Irazabal Iraurgui dan Hector Alejandro Hevel Serrano.
Mereka semua sebelum ini disiasat berhubung dakwaan pemalsuan dokumen bagi tujuan pendaftaran sebagai pemain warisan Harimau Malaya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
