[VIDEO] Polis buka kertas siasatan bintang Persib hina tugas anggota URB


  • Kes
  • Isnin, 10 Nov 2025

Tangkap layar memaparkan Adam bersama Saddil berdepan dengan polis selepas melakukan kesalahan memasuki laluan bertentangan. — Agensi

SATU kertas siasatan dibuka berhubung beberapa video melibatkan pemain Indonesia tular didakwa mengaibkan serta menghina anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB) Polis Diraja Malasyia (PDRM) baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, siasatan mendapati rakaman itu dibuat ketika anggota URB sedang melakukan pemeriksaan terhadap sebuah kenderaan.

Katanya, pemeriksaan pada kenderaan itu dijalankan dengan tertib mengikut peraturan yang ditetapkan dengan semua individu terlibat dilepaskan.

BACA LAGI : [VIDEO] Gara-gara telefon Saddil ‘mati’, tonggak Persib nyaris disaman polis selepas tundukkan Selangor FC

BACA LAGI : Gagal kawal nafsu dan baran, FAM ada sejarah gantung 2 pemain Liga M seumur hidup

“Siasatan turut mendapati, terdapat video lain memaparkan ulasan semula kejadian dengan membuat tuduhan yang mengaibkan terhadap anggota terlibat,” katanya dalam kenyataan pada Isnin. 

Terdahulu, tular video seorang pemain tengah Persib Bandung, Adam Alis, didakwa menghina anggota polis ketika menjalankan tugas.

Video yang memaparkan pemain sebuah pasukan bola sepak terkemuka Indonesia itu bersama beberapa individu dalam sebuah kereta ditahan polis selepas didakwa memandu secara melawan arus tular di media sosial.

Anggota berkenaan dipercayai meminta mereka menunjukkan dokumen pengenalan diri dan pasport namun mereka didakwa gagal berbuat demikian sebelum dipercayai diminta menunjukkan kad pengenalan dari negara asal.

Berdasarkan video, lelaki berkenaan mendakwa anggota polis berkenaan meminta supaya mereka tidak memandu melawan arah dan turut mendakwa kononnya anggota berkenaan mahu meminta wang.

Anggota polis berkenaan turut menegur supaya membawa pasport ketika berada di negara ini.

Berikutan itu, Wan Azlan berkata, kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

"Polis juga menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang kenyataan, tuduhan atau ulasan melulu yang boleh menjejaskan imej pasukan keselamatan serta menimbulkan kekeliruan awam.

"Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu yang menyalahgunakan media sosial untuk menyebarkan maklumat palsu atau berunsur fitnah terhadap PDRM," tegasnya.

Susulan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil dengan menghubungi Pusat Kawalan Daerah IPD Subang Jaya di talian 03-7862 7100 atau mana-mana balai polis berdekatan dan identiti pemberi maklumat akan dirahsiakan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram