Joshua Zirkzee mahu berkelana? 2 kelab EPL dilapor bersedia terima bintang 'kaki kaca' Man United


  • Podium
  • Khamis, 13 Nov 2025

Zirkzee dilaporkan sedang berada dalam radar beberapa kelab sekitar Eropah, termasuk dua pasukan EPL. — Agensi

KEMASUKAN Benjamin Sesko, Matheus Cunha dan Bryan Mbeumo dalam skuad The Red Devils musim ini menyaksikan penyerang antarabangsa Belanda, Joshua Zirkzee semakin sukar meraih minit permainan.

Dalam saingan domestik setakat ini, pemain itu hanya sempat merekodkan lima penampilan, termasuk empat daripadanya di pentas Liga Perdana Inggeris (EPL).

Peluang terhad itu menyaksikan penyerang berkenaan semakin sukar memberi sumbangan di hadapan pintu gol dengan tiada sebarang gol atau bantuan jaringan dicatatkan.

BACA LAGI: Man United terima khabar gembira, dapat peluang beli pengganti Hojlund, Zirkzee dengan harga murah

BACA LAGI: [VIDEO] Enggan tuding jari, Amorim akui Zirkzee, 2 lagi bintang Man United papar peningkatan

Zirkzee semakin sukar merebut tempat dalam kesebelasan utama. — Agensi

Ini sekali gus membuka peluang untuknya meninggalkan Manchester United pada jendela perpindahan musim sejuk dalam usaha merebut tempat dalam skuad antarabangsa Belanda ke Piala Dunia 2026.

Ketika ini, beberapa kelab dilaporkan tertarik akan khidmat pemain berusia 24 tahun itu, termasuk Everton dan West Ham United yang beraksi di EPL.

Everton yang dikendalikan David Moyes berada dalam prestasi cukup baik ketika ini, namun masih memerlukan penyerang baharu kerana ketumpulan Beto terus menghampakan.

Malah, berdasarkan khabar angin semasa, terdapat kemungkinan rundingan akan dijalankan dalam masa terdekat bagi menghalang Zirkzee mencari destinasi lain.

West Ham United dilaporkan bersedia mendapatkan khidmat Zirkzee. — Agensi

West Ham United yang kini berada dalam zon penyingkiran juga memerlukan peledak baharu segera selepas mereka hanya menjaringkan 13 gol selepas 11 perlawanan.

Angka tersebut perlu ditambah baik segera sekiranya skuad The Hammers mahu kekal di divisyen teratas dengan pengalaman Zirkzee diharap mampu mengubah situasi.

Bagaimanapun, setakat ini, tiada sebarang bentuk rundingan dilakukan mana-mana pihak dengan kelab London itu pasti tidak mahu membuat keputusan terburu-buru.

Selain Everton dan West Ham United, beberapa kelab sekitar Eropah turut difahamkan berminat akan khidmat penyerang terbabit seperti Bologna, Juventus dan Roma.

Meskipun pemain itu masih tidak menemui rentak buat Manchester United, potensi dimilikinya boleh dijadikan pelaburan jangka masa panjang sekiranya peluang diberikan secara konsisten. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram