[VIDEO] 'Congrats Sir dad', keluarga Beckham rai kejayaan David dikurnia gelaran 'Sir' oleh Raja Charles III


  • Sukses
  • Rabu, 05 Nov 2025

David Beckham menerima anugerah itu pada Selasa ditemani isteri, Victoria. — Instagram.@victoriabeckham

BEKAS kapten pasukan bola sepak kebangsaan England, David Beckham kini secara rasmi dikenali sebagai Sir David Beckham selepas menerima anugerah knighthood daripada King Charles III di Windsor Castle pada 4 Selasa.

Penganugerahan itu adalah simbol pengiktirafan atas sumbangannya dalam sukan bola sepak dan kerja amal.

Memetik laporan agensi, beliau menyifatkan detik itu sebagai sesuatu yang amat membanggakan.

"Ini adalah saat yang luar biasa untuk seorang budak dari timur London berada di Istana Windsor, menerima penghormatan daripada Raja yang mana ia institusi paling dihormati di dunia.

"Tanpa ragu, ini adalah detik paling membanggakan dalam hidup saya," katanya.

BACA LAGI: Busana merah jambu, selendang keringkam rekaan Shanell Harun serlah penampilan Tun Laila pada majlis pertunangan

BACA LAGI: Tas tangan unik, 'playful' imbangi arus fesyen semasa agar tidak terlalu serius!

Agensi lain melaporkan, lelaki berusia 50 tahun itu telah mencatat lebih 115 penampilan untuk pasukan England selain mencatat pelbagai kejayaan kelab termasuk dengan Manchester United, Real Madrid, LA Galaxy dan lain-lain.

Di luar bola sepak, beliau juga aktif dalam kerja amal termasuk sebagai duta UNICEF dan dilantik sebagai duta untuk The King’s Foundation pada 2024.

Kagum dengan pencapaian itu, isterinya Victoria Beckham menzahirkan rasa bangga dan terharu menerusi hantaran di Instagramnya.

"David, sejak kali pertama saya mengenalimu 28 tahun lalu, kamu sentiasa begitu bangga mewakili negaramu.

"Sama ada di atas atau di luar padang, tiada siapa yang lebih mencintai England dan menghormati keluarga diraja seperti kamu.

"Melihat kamu diberi penghormatan oleh Raja hari ini adalah sesuatu yang akan saya kenang selamanya," tulisnya.

David Beckham (dua dari kanan) bersama isteri dan anak-anak mereka, (dari kiri) Romeo, Brooklyn dan Harper. — Instagram.@victoriabeckham

Tambah Victoria yang juga usahawan dan pereka fesyen, beliau menyifatkan David sebagai figura luar biasa dan merendah diri meskipun telah mencapai banyak kejayaan.

"Kamu telah mencapai begitu banyak kejayaan, namun kamu masih lelaki yang sama. Baik hati, merendah diri dan rajin seperti yang saya temui hampir 30 tahun dahulu," katanya menambah, suaminya itu juga seorang suami dan bapa yang luar biasa.

Sementara itu, putera kedua mereka, Romeo Beckham turut tidak terlepas peluang untuk menzahirkan ucapan tahniah.

"Tiada siapa lebih layak menerima ini lebih daripada kamu, sayang kamu. Tahniah 'Sir dad'," ujarnya ringkas sambil berseloroh.

Kehidupan peribadi

Lebih daripada sekadar legenda bola sepak, David Beckham turut dikenali sebagai individu yang gemar berkebun dan sering berkongsi hasil tanamannya di media sosial termasuk sayur-sayuran, herba serta bunga yang ditanam di belakang rumahnya.

Selain aktif di kebun, beliau juga memiliki kemahiran memasak yang hebat.

Victoria sebelum ini pernah mendedahkan bahawa setiap kali sambutan Krismas, suaminya akan mengambil alih tugas menyediakan hidangan utama manakala beliau hanya menguruskan minuman.

David berkahwin dengan Victoria Adams yang lebih dikenali sebagai Posh Spice daripada kumpulan pop wanita terkenal, Spice Girls pada tahun 1999.

Pasangan itu dikurniakan empat orang anak, terdiri daripada tiga lelaki iaitu Brooklyn, Romeo dan Cruz serta seorang perempuan, Harper Seven Beckham.

Hubungan mereka turut menjadi perhatian ramai apabila kisah pasangan itu didedahkan menerusi dua dokumentari di Netflix.

Siri tersebut mempamerkan perjalanan hidup mereka sebagai pasangan terkenal termasuk tekanan akibat populariti, cabaran mengimbangi kehidupan keluarga serta dugaan ketika zaman kemuncak kerjaya David sebagai pemain bola sepak seperti gosip media dan tempoh lama mereka berjauhan akibat perpindahan antarabangsa beliau. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram