HARAPAN Manchester United untuk mempertahankan gelaran Piala FA tidak kesampaian apabila mereka tersingkir di tangan Fulham dalam pertemuan pusingan kelima pada Isnin.
Perlawanan di Stadium Old Trafford itu menyaksikan kedua-dua pasukan terikat 1-1 selepas 90 minit perlawanan dengan Calvin Bassey meletakkan pasukan pelawat di hadapan sebelum Bruno Fernandes mengikat kedudukan.
Jadi, dengan tiada sebarang jaringan disaksikan pada masa tambahan, aksi diteruskan ke penentuan sepakan penalti yang memberi cabaran besar buat semua pemain di atas padang.
BACA LAGI: Walaupun Zirkzee sumbat gol jumpa Everton, Man United tetap buru bintang Wolves kuatkan serangan
BACA LAGI: Tak layan aksi seteru, skuad The Red Devils anjur pertandingan boling demi baiki hubungan pasukan

Amorim (kanan) menenangkan Zirkzee yang jelas kecewa selepas gagal membantu kemaraan Manchester United.
Penentuan sepakan penalti pada awalnya bermula dengan baik apabila tiga pemain daripada kedua-dua pasukan mudah menyempurnakan tendangan untuk meletakkan kedudukan terikat 3-3.
Namun, penjaga gol Fulham, Bernd Leno beraksi cemerlang untuk menepis sepakan Victor Lindelof untuk memberi kelebihan buat pasukan pelawat sebelum Antonee Robinson memastikan mereka meraih skor pendahuluan.
Nasib Manchester United dalam kejohanan berkenaan akhirnya disimpulkan selepas tendangan penyerang mereka, Joshua Zirkzee turut ditepis Leno untuk menyingkirkan pasukan tuan rumah.
Kegagalan mempertahankan gelaran Piala FA itu sememangnya pahit untuk ditelan penyokong The Red Devils yang mula menuding jari ke arah pemain antarabangsa Belanda berkenaan atas kesilapannya.
Tampil mempertahankan Zirkzee adalah pengurusnya, Ruben Amorim yang beranggapan pemain tersebut selain dua lagi anak buahnya, Bruno dan Casemiro sudah mempamerkan perbezaan ketara.
"Kita berjaya menjaringkan gol pada babak kedua selepas dibolosi memasuki rehat separuh masa pertama. Ia adalah satu cabaran untuk memberi tekanan kepada pihak lawan, namun kita berjaya melakukannya dan menjaringkan gol.
"Tetapi, pada hujungnya, nasib tidak berpihak kepada kita semasa penentuan sepakan penalti. Saya juga ingin katakan penguasaan bola agak baik dan ia mungkin berpunca daripada kualiti pemain. Saya lihat ada juga penambahbaikan daripada Bruno, Casemiro dan Zirkzee," katanya.
Zirkzee yang tiba dari Bologna pada jendela perpindahan musim panas diletakkan dalam kesebelasan utama untuk menghidangkan peluang buat Rasmus Hojlund dalam barisan serangan.
Bagaimanapun, sepanjang berada di atas padang, Zirkzee bergelut untuk memberikan impak sehingga menyaksikan Manchester United menunggu sehingga babak kedua untuk menyamakan kedudukan.
Dalam kempen Piala FA 2024/25, skuad The Red Devils mara ke pusingan kelima selepas menyingkirkan Arsenal dan Leicester City dalam pusingan terdahulu dengan mereka diangkat sebagai antara pasukan pilihan.
Bagaimanapun, kekecewaan dialami di tangan Fulham itu menyaksikan juara tujuh kali, Manchester City sebagai kelab dengan peluang terbaik kerana menjadi satu-satunya pasukan dalam 'Big 6' yang berbaki. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
