Sesko cedera, 3 tonggak ke AFCON, Amorim buat 'sesuatu' menjelang jendela perpindahan


  • Podium
  • Ahad, 09 Nov 2025

Sesko mengalami kecederaan lutut ketika aksi seri 2-2 menentang Tottenham Hotspur pada Sabtu lalu. — Agensi 

MANCHESTER United berdepan dilema menjelang jendela perpindahan Januari selepas penyerang muda, Benjamin Sesko mengalami kecederaan lutut ketika aksi seri 2-2 menentang Tottenham Hotspur pada Sabtu lalu.

Kecederaan itu mencetuskan kebimbangan besar buat pengurus, Ruben Amorim yang kini berdepan tekanan untuk menilai semula keperluan pasukan termasuk kemungkinan mendapatkan pemain baharu bagi memperkukuh skuad.

Difahamkan, United telah diberitahu bahawa membawa masuk penyerang baharu pada akan menelan belanja besar, sekali gus mencadangkan agar fokus beralih kepada bahagian tengah yang dianggap masih lemah.

BACA LAGI: Jaga-jaga Arsenal, Man United mungkin jadi pencabar dalam senyap musnahkan impian The Gunners

BACA LAGI: Man United tempang berdepan Brighton

Sesko yang dimasukkan sebagai pemain gantian pada babak kedua pada permainan itu, terpaksa dikeluarkan pada minit ke-85 selepas mengalami kesakitan pada lututnya. 

Pengendali dari Portugal berkenaan mengesahkan kecederaan dialami penyerang tinggi lampai tersebut, namun belum dapat memberikan kepastian tahap seriusnya.

"Kami perlu periksa dulu. Dia mengalami sesuatu pada lututnya, jadi kita tengok nanti. 

"Saya lebih bimbang kerana ia melibatkan lutut. Kita tidak tahu sejauh mana keadaannya, tapi kami perlukan Ben untuk pasukan jadi lebih baik," kata Amorim. 

Kecederaan Sesko datang pada waktu yang sukar buat United apabila beberapa tonggak seperti Bryan Mbeumo, Amad dan Noussair Mazraoui bakal meninggalkan pasukan bulan depan bagi menyertai Piala Negara-Negara Afrika (AFCON).

Mbeumo termasuk tiga pemain eninggalkan pasukan bulan depan bagi menyertai AFCON. — Agensi

"Kami sudah jangka cabaran itu akan datang. Bila jendela perpindahan dibuka, kami akan lihat sama ada boleh memperkukuh pasukan dan bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan," tambah Amorim.

Sementara itu, wartawan sukan iaitu Jonathan Northcroft dalam rancangan Sunday Supplement di Sky Sports berpandangan bahawa United sepatutnya memberi tumpuan terhadap usaha menambah kekuatan di bahagian tengah, bukan sekadar mencari pengganti Sesko.

"Amorim sempat berkata 'saya bimbang' apabila ditanya mengenai kecederaan Sesko, sebab bila melibatkan lutut, ia boleh jadi apa sahaja.

"Namun, isu sebenar United bukan hanya di bahagian serangan, bahagian tengah mereka sudah lama tidak mencapai standard dan perlu segera diperkuatkan,"  jelas Northcroft.

Dengan jendela perpindahan Januari semakin hampir, Amorim perlu menyeimbangkan antara keperluan mendesak di bahagian serangan dan keperluan jangka panjang di tengah padang sambil menanti keputusan perubatan mengenai  Sesko. — Agensi 

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram