[VIDEO] 'Penyokong Selangor sambut baik kami', fans Persib dakwa pihak keselamatan punca sebenar insiden hangat di MBPJ


  • Podium
  • Jumaat, 07 Nov 2025

Penyokong Persib Bandung turut terkesan akibat insiden tegang dalam stadium selepas tamat perlawanan.

KEKECOHAN berlaku susulan aksi Liga Juara-Juara AFC (ACL) Two antara Selangor FC dan Persib Bandung di Stadium MBPJ, Selangor pada Khamis.

Insiden hangat itu dilaporkan tercetus selepas tuan rumah mensia-siakan kelebihan dua gol sebelum tewas pada minit-minit akhir menerusi keputusan 2-3.

Kekalahan tersebut menyaksikan skuad Gergasi Merah tersingkir dari kejohanan tersebut musim ini selepas tidak meraih sebarang mata dari empat perlawanan.

BACA LAGI: Pengalaman Liga M bikin Saddil yakin Persib mampu 'kerjakan' Selangor di MBPJ

BACA LAGI: [VIDEO] Seperti tak gembira di Persib, tiba masanya Selangor pantas sambar Saddil

Berang akan keputusan itu, segelintir penyokong Merah Kuning bertindak melakukan kekecohan dengan menceroboh masuk ke dalam padang selain membuat kacau di luar perkarangan stadium.

Tidak cukup dengan itu, penyokong Persib Bandung turut terkena tempias akibat insiden tersebut apabila beberapa objek dibaling ke arah tempat duduk mereka.

Ramai beranggapan situasi tegang berkenaan berlaku disebabkan sikap penyokong Selangor FC yang sengaja membuat kacau sehingga kekecohan itu gagal dikawal.

Tetapi, dalam satu hantaran di laman Instagram Blueblood ID, seorang peminat setia Persib Bandung menceritakan bagaimana sikap pihak keselamatan stadium mencetuskan kemarahan.

Perkongsian penyokong tersebut yang memaparkan sebilangan peminat dihalang daripada meninggalkan stadium.

"Awal kekecohan dimulakan penjaga keselamatan yang melakukan provokasi terhadap penyokong. Semua berjalan lancar dengan peminat tuan rumah juga menyambut dengan baik.

"Tetapi, setelah insiden dengan pengawal, segalanya berubah. Semoga boleh dibincangkan dan penyokong dapat pulang selamat. Ini mungkin hanya silap komunikasi," tulisnya.

Hantaran itu dibuat berserta tangkap layar perbualan menerusi WhatsApp memaparkan beberapa penyokong pasukan pelawat masih tidak dibenarkan untuk meninggalkan Stadium MBPJ.

Tindakan sebegitu kerap dilakukan bagi mengelak insiden tidak diingini dan lebih teruk tercetus, lebih-lebih lagi sekiranya terdapat rusuhan di perkarangan.

Setakat ini, pengurusan Selangor FC masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung kekecohan terbabit dengan orang ramai sudah tentu tertanya-tanya punca sebenar insiden terbabit.

Hukuman berat turut dijangka menimpa kelab Lembah Klang itu kerana gagal mengawal keadaan dalam aksi anjuran AFC dengan tindakan seperti denda boleh dikenakan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram