TIGA mata penuh perlu direkodkan Selangor FC dalam aksi keempat Liga Juara-Juara AFC (ACL) Two ketika menerima kunjungan wakil Indonesia, Persib Bandung pada Khamis.
Ini kerana selepas tiga kali beraksi, skuad Gergasi Merah masih belum mencatatkan sebarang mata, termasuk semasa bertandang ke Stadium Gelora Bandung Lautan Api, Bandung yang berakhir dengan kekalahan 0-2.
Kegagalan demi kegagalan dihadapi di pentas Asia menyaksikan pasukan tersebut kini berada di tangga tercorot Kumpulan G dengan peluang kemaraan semakin tipis.
BACA LAGI: [VIDEO] Seperti tak gembira di Persib, tiba masanya Selangor pantas sambar Saddil
BACA LAGI: Safawi ada 'wow factor' berbanding 2 lagi calon pikat Sabah ganti Saddil

Skuad Gergasi Merah kini berada di tangga tercorot Kumpulan G dalam saingan ACL Two 2025/26.
Jadi, untuk kembali menghidupkan peluang itu, Selangor FC wajib merekodkan mata maksimum daripada ketiga-tiga perlawanan berbaki, bermula dengan aksi menentang Persib Bandung di Stadium MBPJ, Selangor.
Bagaimanapun, bagi Saddil Ramdani yang merupakan pemain sayap skuad Pangeran Biru, mereka tidak mahu mensia-siakan rentak cemerlang yang dimiliki dalam saingan ACL Two.
"Saya berharap Persib Bandung akan menjadi semakin baik dan mampu memberikan hasil terbaik dalam setiap pertandingan. Sasaran kami jelas iaitu membawa pulang tiga mata penuh ke Bandung.
"Kami semua fokus untuk mengikut arahan barisan kejurulatihan. Siapa pun yang beraksi harus memberikan sumbangan terbesar," kata pemain berusia 26 tahun itu.
Meskipun jarang beraksi buat Persib Bandung, Saddil sempat diturunkan sebagai pemain simpanan untuk kira-kira lapan minit ketika berdepan Selangor FC di gelanggang sendiri.

Saddil (kiri) mempunyai pengalaman luas dalam arena bola sepak tanah air. — Facebook/Sabah FC
Peluang lebih besar dijangka mampu diberikan pengendali skuad Pangeran Biru, Bojan Hodak dalam perlawanan di Stadium MBPJ kerana pemain kebangsaan Indonesia itu cukup memahami selok-belok Liga Malaysia.
Ini kerana sebelum pulang ke negara asalnya, dia menghabiskan empat musim bersama Sabah FC bermula 2021 selain pernah menyarung jersi Pahang FA pada 2019.
Malah, sepanjang tempoh terbabit, Saddil pernah beraksi lapan kali ketika berdepan skuad Gergasi Merah dengan satu kemenangan, empat keputusan seri dan tiga kekalahan direkodkan.
Oleh itu, pemain sayap berkenaan pasti mahu menambah baik rekod peribadinya dalam aksi penting itu yang boleh mengesahkan kemaraan Persib Bandung ke peringkat kalah mati.
Untuk rekod, Saddil sudah mencatatkan 12 penampilan dalam semua pertandingan buat pasukannya tersebut musim ini dengan hanya satu gol dan satu bantuan jaringan dicetak. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
