SETELAH memulakan kempen Liga Juara-Juara AFC (ACL) Elite dengan kekok, Johor Darul Ta'zim (JDT) berjaya menemui rentak dengan merekodkan dua kemenangan berturut-turut.
Ini termasuk ketika mereka menundukkan wakil China, Shanghai Shenhua di laman sendiri pada Rabu menerusi kemenangan 3-1 hasil dua gol daripada Jonathan Silva dan satu yang dijaringkan Oscar Arribas.
Tiga mata direkodkan di Stadium Sultan Ibrahim, Johor itu sekali gus meletakkan pasukan kendalian Xisco Munoz di tangga kedua fasa liga ACL Elite Zon Timur.
BACA LAGI: Dipintas Australia saat-saat akhir, Malaysia kempunan Top 5 ranking MA AFC
BACA LAGI: 'Terima kasih Harimau Selatan', JDT penyumbang utama kelab Malaysia pintas Australia

Malaysia kembali ke kedudukan lima teratas dalam carta MA ranking bagi Zon Timur.
Malah, kemenangan itu turut menyaksikan kedudukan negara dalam carta MA ranking bertambah baik selepas mereka memintas Australia untuk naik ke tangga kelima.
Berdasarkan kutipan semasa, Malaysia sudah mencatatkan 39.101 mata secara keseluruhan berbanding pencabar terdekat itu yang merekodkan 38.344 mata setakat ini.
Kelebihan itu sekali gus memastikan peluang negara untuk menambah slot pasukan ke ACL Elite serta ACL Two pada musim-musim akan datang semakin cerah.
Namun, misi tersebut juga harus dipikul sebuah lagi wakil negara di pentas Asia, Selangor FC yang masih belum membuat sebarang sumbangan mata musim ini.
Skuad Gergasi Merah mengalami tiga kekalahan berturut-turut dalam peringkat kumpulan ACL Two musim ini yang turut memberi kesan terhadap kutipan mata dalam MA ranking.

Skuad Gergasi Merah perlu memberi sumbangan terhadap kedudukan negara di pentas Asia. — Facebook/Selangor FC
"Harap Selangor FC mampu catat kemenangan malam ini (Khamis) untuk menjarakkan lagi mata daripada pasukan Australia yang mengikut rapat di kedudukan keenam," kata Darul Takzim FC & Johor FA.
"Harapnya Selangor FC dapat menanglah. Jangan nak tumpang JDT sahaja di Asia ini. Kalau boleh carilah mata banyak-banyak, main jangan teruk sangat," kata Sevensea Sailors.
"Selangor, kami sokong dan tuntut kemenangan pada hari esok (Khamis) dan seterusnya dalam kempen ACL Two demi MA ranking," kata Betara Siong.
Hasrat negara untuk menambah slot ke pentas Asia masih tipis kerana terdapat jurang besar dengan China yang ketika ini memperoleh 47.733 mata ketika ini.
Bagaimanapun, sekiranya wakil Liga Super ke ACL Elite dan ACL Two beraksi konsisten, perbezaan itu dapat dikecilkan pada musim-musim akan datang. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
