Sang Kenari seolah tiada hala tuju, sudah tiba masanya berehatlah Daud Bakar


  • Podium
  • Khamis, 06 Nov 2025

Penyokong berharap agar Daud Bakar berehat seketika dan memberi ruang kepada individu lain menguruskan Sang Kenari. — Facebook/KDAFC

SEBAGAI penyokong setia Kedah Darul Aman FC (KDA FC), luahan ini ditulis dengan penuh rasa kecewa selepas menyaksikan kekalahan memalukan 1-5 kepada Perak FC di Stadium Bola Sepak Perak, Chepor, Ipoh pada baru-baru ini.

Kekalahan itu bukan sekadar kehilangan tiga mata, tetapi tanda jelas bahawa pasukan kesayangan kami kini sepeti semakin hilang arah tuju dan semakin jauh dari semangat juang yang pernah menjadi kebanggaan Hijau Kuning.

Selepas 10 perlawanan, KDA FC hanya mampu mengutip satu kemenangan dan satu seri, selebihnya tewas.

BACA LAGI: [VIDEO] Kedua-duanya kini berstatus kelab, Derby Utara pernah saksikan Kedah belasah Perlis tanpa belas kasihan

BACA LAGI: [VIDEO] 'Ada cerita yang takkan berakhir', Mat Don janji datang semula selepas Kedah kembali 'bernyawa'

Dengan hanya empat mata dan kini berada di tangga kedua tercorot liga, prestasi ini amat sukar untuk diterima oleh penyokong yang saban minggu datang memberi sorakan di stadium.

Segenap lapisan penyokong negeri Jelapang Padi berkenaan kini seolah-olah kehilangan kata-kata kerana prestasi pasukan ini semakin hari semakin merudum tanpa sebarang tanda kebangkitan.

Lebih merisaukan apabila selepas sekian lama menunggu sama ada saingan Liga A1 Semi Pro akan menjadi titik perubahan KDA FA, namun sebaliknya tiada perkembangan positif yang dapat dilihat.

Walaupun langkah memberi peluang kepada pemain muda dianggap pelaburan jangka panjang yang wajar dipuji, hakikatnya tiada peningkatan ketara dari segi corak permainan serta keputusan di atas padang.

Pasukan Utara tanah air berkenaan hanya kelihatan longlai, tanpa identiti permainan yang jelas, seolah-olah hanya bermain untuk melengkapkan jadual perlawanan.

Tambahan pula, isu penajaan yang masih belum stabil terus menambah luka di hati penyokong berikutan masalah berkenaan merupakan punca KDA FC dilanda masalah kewangan pada musim lepas dan akhirnya disingkirkan dari Liga Super.

Pasukan seolah-olah beroperasi dalam ketidaktentuan, tidak cukup kuat dari segi kewangan, tidak kukuh dari sudut struktur pengurusan, dan paling membimbangkan, tidak menampakkan perancangan masa depan yang meyakinkan.

Keadaan berkenaan terus menimbulkan persoalan besar tentang hala tuju sebenar KDA FC di bawah kepimpinan semasa dengan Pengerusi KDA FC, Tan Sri Mohd Daud Bakar dinasihat wajar menilai semula kedudukannya.

Sudah tiba masanya beliau berehat seketika dan memberi ruang kepada individu lain yang lebih berpengalaman dalam dunia pengurusan bola sepak untuk memulihkan kembali maruah Sang Kenari.

Ini bukan soal memperlekeh usaha beliau, tetapi realiti bahawa bola sepak memerlukan sentuhan orang yang memahami sukan, bukan sekadar mengurus dari sudut korporat.dan semangat kesukanan sahaja.

KDA FC mempertaruhkan pemain muda bagi saingan Liga A1 Semi Pro 2024/2025. — Facebook/KDAFC

Kami sebagai penyokong Kedah tidak meminta keajaiban. Kami hanya mahu melihat pasukan kesayangan kami ini mempunyai hala tuju yang jelas, perancangan yang tersusun dan pengurusan yang berani membuat keputusan demi kemajuan pasukan.

Setiap kali menyarung jersi Hijau Kuning, pemain dan pegawai harus sedar bahawa mereka membawa nama besar yang pernah menjulang trofi, memahat sejarah, dan membanggakan seluruh rakyat Kedah.

Jika keadaan ini berterusan tanpa perubahan nyata, dibimbangi KDA FC hanya sekadar pasukan yang tidak habis-habis mengimbau kejayaan lampau dan menatap trofi berhabuk di kabinet.

Sudah tiba masanya kepimpinan tertinggi mendengar denyutan hati penyokong, menilai semula arah perjalanan kelab, dan bertindak sebelum semuanya terlambat. — Majoriti

Mohd Nizam merupakan seorang peminat fanatik Kedah yang menetap di Petaling Jaya, Selangor.

*Ini merupakan pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Majoriti*

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram