 
                                                BARU-BARU ini, kancah bola sepak tanah dikejutkan dengan tindakan bekas pemain sayap Sabah FC, Saddil Ramdani yang dianggap tidak profesional ketika perlawanan Liga 1 Indonesia menentang Persis Solo pada Isnin.
Difahamkan, Saddil yang kini beraksi bersama Persib Bandung dikatakan tidak dapat menahan kemarahannya selepas dikeluarkan oleh pengendali kelab, Bojan Hodak pada minit ke-31 dalam aksi yang berlangsung di Stadium Gelora Bandung Lautan Api, Indonesia.
Menerusi satu rakaman yang kini tular di media sosial, pemain kebangsaan Indonesia itu bertindak membaling botol mineral dan menumbuk cermin di kawasan bangku simpanan sebaik digantikan.
BACA LAGI: Noor Azman bertemu Presiden FIFA atas kapasiti peribadi — FAM
Difahamkam, keputusan Bojan menggantikan Saddil dibuat selepas pemain tengah, Luciano Guaycochea dilayangkan kad merah pada minit ke-28.
Bagi menampung kekosongan di bahagian tengah, Bojan mengambil langkah taktikal dengan mengeluarkan Saddil dan memasukkan Adam Alis bagi mengukuhkan semula jentera tengah pasukan.
Namun, keputusan itu dilihat tidak disenangi Saddil yang gagal mengawal emosinya.
Bagaimanapun, menyedari kesilapan yang dilakukan, Saddil tampil memohon maaf secara terbuka menerusi hantaran di laman Instagram miliknya, @saddilramdanii.
Menurut Saddil, dia memohon maaf atas reaksi spontan yang kurang profesional sambil menjelaskan ia berpunca daripada kekecewaan diri sendiri.

Faisal (tengah) boleh mencipta gandingan hebat dengan Saddil. — Facebook/selangorfc
Pada masa sama, dia tetap menyokong keputusan jurulatih dan berharap pengalaman itu membantunya menjadi lebih matang.
Susulan itu, ramai penyokong tanah air berasakan pemain sayap berketinggian 1.72 meter itu wajar mempertimbangkan keputusan kembali ke Liga Malaysia dengan menyertai Selangor FC.
Hal ini kerana, dengan prestasi Selangor yang kini boleh dikatakan membimbangkan, Saddil dilihat merupakan jawapan kepada jalan penyelesaian Gergasi Merah.
Kehadiran Saddil ke pasukan Lembah Klang itu dijangka mampu membantu jentera serangan Gergasi Merah yang kini dilihat kurang berkesan.
Jika Saddil menyertai Selangor, dia dilihat dapat membantu melengkapkan barisan sayap Gergasi Merah dan menjadikan ia semakin kuat.

Saddil (tengah) yang kini beraksi bersama Persib hanya mencatatkan satu gol selepas 11 penampilan. — Facebook/persibbandung
Buat masa ini, Selangor bergantung harap kepada tonggak import, Alvin Fortes dan Faisal Halim.
Dengan kehadiran Saddil di kem Selangor, dia dijangka dapat menambah daya serangan terutamanya ketika Gergasi Merah sedang beraksi dalam Kumpulan G saingan Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2).
Saddil mampu menjadi pelengkap kepada taktikal Christophe Gamel dengan meletakkan pemain itu di bahagian kanan sementara Faisal bergerak sebagai sayap kiri.
Selain itu, ketajaman Saddil tidak boleh dipertikaikan lagi kerana dia sebelum ini berjaya membuktikan kecemerlangannya bersama Sabah FC.
Dia yang pernah beraksi buat skuad Sang Badak sejak 2021 tidak lagi diperkenalkan kerana kualitinya di atas padang sudah cukup menceritakan gaya permainannya.
Ini kerana keputusannya menyertai skuad Sang Badak membawa perubahan besar kerana selama empat musim di Borneo tanah air, dia merekodkan 22 gol dan 29 bantuan jaringan dalam 86 penampilan.

Saddil sebelum ini pernah menabur bakti bersama Sabah FC. — Facebook/sabahfc
Meskipun tidak pernah membantu pasukan tersebut menjulang sebarang gelaran, kehadirannya membantu skuad Sang Badak lebih digeruni selain berjaya membawa mereka bersaing dalam Piala AFC 2023.
Malah, dengan hanya 376 minit permainan bersama Persib setakat ini, Saddil wajar mempertimbangkan perpindahan ke kelab lain sekiranya mahu terus menjadi pilihan utama kesebelasan.
Dalam 11 perlawanan bersama Persib musim ini, Saddil belum pernah menamatkan 90 minit penuh dalam mana-mana perlawanan, satu angka yang agak mengecewakan bagi pemain lincah sepertinya.
Oleh itu, pilihan untuk menyertai Selangor FC dilihat tepat bagi Saddil sekiranya dia mahu terus mengembangkan karier sebagai pemain profesional.
Menurut Transfermarkt, Saddil yang sah meninggalkan Sabah FC pada awal Januari 2025 dan menandatangani kontrak bersama Persib sehingga 2028 hanya mencatatkan satu gol dan satu hantaran bantuan dalam 11 perlawanan bersama Pangeran Biru musim ini.
Untuk rekod, dua bintang Indonesia iaitu Bambang Pamungkas dan Elie Aiboy sebelum ini pernah mencetuskan fenomena dalam saingan Liga Malaysia apabila duo tersebut membantu Gergasi Merah muncul juara Liga Perdana Malaysia, Piala Malaysia dan Piala FA semasa musim pertama mereka di Selangor pada 2005. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
