Jafri sedar Sabah perlu kerja keras jika mahu tamatkan penantian 28 tahun ke final Piala FA


  • Podium
  • Khamis, 06 Nov 2025

Jafri (depan) berhasrat bawa Sabah kembali ke perlawanan akhir Piala FA.

PEMAIN Sabah FC, Jafri Firdaus Chew menyedari tugas sukar menanti dia dan kelabnya dalam usaha kembali ke perlawanan akhir Piala FA.

Bertemu Selangor FC di separuh akhir, Jafri bertekad membawa Sabah kembali ke perlawanan akhir buat kali pertama sejak 27 tahun.

28 tahun lalu, Sabah berjaya mara ke perlawanan akhir namun hampa apabila mereka tumpas 0-1 kepada Johor FA.

BACA LAGI: Berstatus ‘new arrival’, khabarnya Selangor ikat arkitek baharu perkuat jentera tengah

BACA LAGI: [VIDEO] Pemain tertunduk, aksi terhenti lepas jurulatih kelab Serbia meninggal dunia di tepi padang

Menurut Jafri, Sabah harus memberikan persembahan yang baik serta berusaha 100 peratus agar dapat keputusan positif berdepan Selangor.

"Saya sedar jika Sabah mahu layak ke final, kita perlu bekerja keras lagi. Bagi saya, dalam padang kita kena beri 100 peratus tapi dalam masa yang sama tetap berhati-hati juga dengan Selangor.

"Bagi saya, semua pemain mereka perlu diawasi, tapi ada juga segelintir pemain yang perlu diberi perhatian lebih," kata Jafri kepada Liga Bola Sepak Malaysia (MFL).

Menyedari Sabah tidak beraksi baik dalam Liga Super, Jafri berharap rekod baik dalam Piala FA dapat mengubat hati penyokong yang jelas kecewa.

Beraksi di depan penyokong sendiri untuk separuh akhir pertama pada Ahad, Jafri berkata peluang harus diambil sebaiknya untuk dijadikan bekalan semasa aksi timbal balik.

"Bermain aksi pertama di laman sendiri mungkin dapat beri kelebihan kepada kami. Jadi kami wajib mengambil peluang ini untuk kutip gol sebanyak mungkin sebelum ke Selangor nanti," ujar Jafri.

Sebelum ini, Selangor sudah bertandang ke Sabah untuk tugasan Liga Super dengan Gergasi Merah menang 2-1. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram