Hanya mampu uji ‘skuad adik’, epiknya KDA FC ranap cita-cita megah JDT dalam Liga Super kini tinggal kenangan


  • Podium
  • Jumaat, 07 Nov 2025

Memori ketika perlawanan epik antara KDA FC dan JDT di Stadium Darul Aman, Kedah pada 2023 sukar dilupakan. — Facebook/KDA FC

PRESTASI mengecewakan terus melanda kem Kedah Darul Aman (KDA) FC dalam saingan Liga A1 Semi Pro 2025/26 apabila mereka hanya merekodkan empat mata daripada 10 perlawanan setakat ini.

Kutipan empat mata yang terlalu sedikit itu menyaksikan mereka menduduki tangga kedua tercorot, hanya dibezakan dengan perbezaan gol berbanding pasukan bawahan, Machan FC.

Ujian besar turut menanti skuad bimbingan Azzmi Aziz itu apabila mereka bakal menerima kunjungan Johor Darul Ta'zim (JDT) II di Stadium Mini MPKP, Jitra, Kedah pada Sabtu.

BACA LAGI: Dalam sakit ada bahagia, hukuman gantung MFL sebenarnya beri masa untuk KDA pulih

BACA LAGI: Tarik diri Liga Super: MFL gantung, denda Sri Pahang-Perak-KDA

Skuad Sang Kenari berada di tangga kedua tercorot selepas 10 perlawanan Liga A1 Semi Pro. Facebook/AFL

Skuad muda Harimau Selatan itu kini berada dalam prestasi cukup cemerlang dengan merekodkan 20 mata hasil enam kemenangan dan dua keputusan seri daripada 10 perlawanan.

Ini jelas menunjukkan jurang kualiti antara kedua-dua pasukan berkenaan dengan ramai menjangkakan pasukan kendalian Josep Maria bakal membawa pulang tiga mata penuh.

Namun, meskipun perbezaan jelas disaksikan, perlawanan itu dijangka mampu menarik kehadiran penyokong cukup baik kerana sejarah cukup mendalam antara dua kelab itu.

Meskipun situasi kali ini adalah cukup berbeza, aura di sebalik pertembungan tersebut masih dapat dirasakan dengan masing-masing pasti mahu merebut tiga mata penuh.

KDA FC dan JDT II bakal bertemu dalam minggu ke-11 Liga A1 Semi Pro. Facebook/AFL

Malah, kira-kira dua musim lalu, perlawanan antara KDA FC dan JDT di pentas Liga Super pernah meraih perhatian hangat peminat bola sepak tanah air.

Ketika itu, skuad Harimau Selatan berada dalam prestasi cemerlang dalam mencipta sejarah sebagai kelab tanah air pertama yang tidak mencicirkan sebarang mata sepanjang musim.

Jadi, selepas 20 perlawanan, kelab tersebut kelihatan sungguh yakin menjelang aksi di Stadium Darul Aman, Kedah untuk berdepan anak-anak buah Nafuzi Zain.

Tetapi, kejutan melanda JDT selepas kubu gol mereka dibolosi sebanyak dua kali menerusi Ifedayo Olusegun dan Manuel Ott yang cukup mengejutkan.

Gol Ifedayo mencetuskan kejutan terhadap skuad Harimau Selatan. Facebook/KDA FC

Tersentak dengan dua jaringan terbabit, skuad Harimau Selatan enggan berputus asa dengan terus melancarkan serangan bagi mengelak kekalahan pertama sejak 2021.

Usaha ditonjolkan pasukan pelawat berjaya membuahkan hasil apabila mereka kembali di depan hasil sumbangan Corbin Ong, Heberty Fernandes serta Arif Aiman Hanapi.

Ketiga-tiga gol dicetak itu menyaksikan JDT berada dalam landasan tepat untuk memastikan kemenangan ke-21 berturut-turut di pentas Liga Super 2023.

Bagaimanapun, KDA FC enggan mengibarkan bendera putih selepas mencetak gol penyamaan pada minit-minit akhir perlawanan menerusi Amirbek Juraboev untuk menamatkan aksi dengan keputusan 3-3.

Perlawanan itu masih diingati sehingga hari ini kerana KDA FC berjaya meranapkan hasrat besar JDT yang boleh dikatakan sebagai pasukan terbaik di bawah bimbingan Esteban Solari.

Skuad Sang Kenari pasti mahu menjadikan pertembungan dengan JDT II sebagai medan kebangkitan. Facebook/KDA FC

Tetapi, selepas kira-kira dua tahun dari perlawanan itu, segala-galanya berubah apabila kelab Utara tanah air itu kini berada di Liga A1 Semi Pro berikutan masalah pengurusan cukup kronik.

Tunggakan gaji cukup hebat dialami sepanjang musim 2024/25 menyaksikan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) enggan memberikan lesen buat pasukan terbabit.

Malah, situasi kelam terus merundung kelab berkenaan yang berhasrat penyertaan dalam Liga A1 Semi Pro dapat menghidupkan semula zaman kegemilangan pasukan.

Harapan itu jelas sukar untuk direalisasikan dengan aksi berdepan JDT II dijangka terus memberi tekanan terhadap usaha pasukan yang belum mempunyai perancangan rapi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram