
KEDAH Darul Aman FC (KDA) menjadi satu daripada tiga kelab yang dihukum oleh Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) kerana menarik diri daripada saingan Liga Super.
KDA bersama-sama Sri Pahang FC dan Perak FC dihukum gantung daripada menyertai mana-mana aktiviti bola sepak anjuran MFL dengan Sang Kenari bersama The Bos Gaurus dihalang selama dua musim manakala Tok Gajah selama semusim.
Ia selepas KDA dan Perak gagal mendapatkan lesen kebangsaan untuk bertanding dengan MFL turut mendenda mereka dengan tidak menyerahkan wang agihan sebagai “rakan kongsi”.
BACA LAGI: Tarik diri Liga Super: MFL gantung, denda Sri Pahang-Perak-KDA
BACA LAGI: Patutnya kerjasama, tak mustahil konflik KDA FC-KFA diheret hingga ke mahkamah — Pemerhati
Bagi saya, hukuman tersebut mungkin sudah terlalu lewat untuk MFL berikan kepada KDA kerana penyokong sendiri kelihatan sudah tidak kisah.
Majoriti penyokong sudah berada pada fasa kehidupan baharu dengan mereka reda yang Sang Kenari kini beraksi di Liga A1.
Malah, hukuman yang diberikan itu mungkin ada hikmahnya buat KDA apabila larangan beraksi dalam pertandingan anjuran MFL selama dua musim ibarat memberi talian hayat kepada kelab.
Sepanjang dua musim, KDA sah tidak akan bermain dalam mana-mana pertandingan utama di negara, oleh itu mereka boleh fokuskan kepada penyertaan di Liga A1 anjuran Amateur Football League (AFL).
Ia juga memberikan lebih masa kepada kelab untuk pulih terutamanya dari segi kewangan sambil membina langkah lebih ampuh untuk bergerak sebagai kelab pada masa akan datang.
Hukuman tersebut mungkin nampak sakit kerana ia menghalang Sang Kenari untuk bertanding menentang kelab-kelab utama lain di Malaysia, namun ia secara tidak langsung adalah peluang untuk KDA ‘bernafas’ sebelum kembali bangkit.
Kepada pengurusan KDA, gunakanlah hukuman ini sebagai peluang untuk bangkit kerana penyokong sentiasa bersama anda sepanjang jalan.
Biar jasa jadi kenangan. — Majoriti
JIMIE HAFIZ merupakan seorang peminat tegar Sang Kenari sejak era Radhi Mat Din
*Ini merupakan pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Majoriti*
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram