
SKUAD sepak takraw negara dijangka tidak berdepan masalah untuk menempah slot ke peringkat kalah mati acara regu pada Sukan SEA Thailand 2025 selepas menerima undian yang dianggap mudah.
Pada majlis undian yang berlangsung di Bangkok pada 19 Oktober lepas, Malaysia diundi dalam Kumpulan A bersama Laos dan Vietnam, manakala tuan rumah iaitu Thailand pula berada dalam Kumpulan B bersama Indonesia dan Singapura.
Bagi acara regu berpasukan lelaki, Malaysia juga diramal tidak menghadapi masalah untuk mara ke pusingan seterusnya apabila diletakkan dalam Kumpulan A bersama Myanmar, Filipina dan Singapura.
BACA LAGI: 'Next STL', Syafiq Ahmad sasar jadi pemain takraw lepas tinggalkan Kedah?
Sementara itu, bagi acara kuadran lelaki menyaksikan skuad sepak takraw tanah air berada dalam Kumpulan B yang turut menampilkan Laos, Kemboja, Singapura, Brunei dan Vietnam.
Walaupun dianggap pasukan pilihan peringkat kumpulan, skuad bimbingan Ahmad Jais Baharun enggan memandang mudah hasil undian berkenaan apabila membawa masuk beberapa pemain yang menyinari di saingan Liga Sepak Takraw (STL) musim ini.
Antara wajah yang ditunggu-tunggu adalah pengumpan Negeri Sembilan Antlers, Zuleffendi Sumari selepas pemain berkenaan tampil cemerlang membantu pasukannya menjuarai dua Grand Prix STL musim ini.
"Alhamdullilah syukur Zuleffendi Sumari (Pak Long) telah melaporkan diri selepas mendapat pelepasan majikannya. Semoga dengan kehadirannya akan membantu kekuatan skuad kebangsaan. Sama-samalah kita doakan," kongsi hantaran Persekutuan Sepak Takraw Malaysia (PSM).
Untuk info, Zuleffendi difahamkan tidak pernah mendapat peluang menyarung jersi kebangsaan disebabkan isu majikannya tidak memberi pelepasan untuk beraksi bersama Malaysia.
Kehadiran pemain itu membuatkan penyokong bola rotan berkenaan berharap agar Pak Long digandingkan dengan dua rakan sepasukan Negeri Sembilan Antlers iaitu Haziq Hairul Nizam (tekong) dan Hafizul Hayazi sebagai perejam pada Sukan SEA nanti.
"Harap coach Jais tidak pecahkan regu Negeri Sembilan Antlers untuk Sukan SEA nanti," kata penyokong bola rotan tanah air, Zulkefli Darus.
"Trio Negeri Sembilan Antlers memang takut lah skuad Thailand," pendapat dikeluarkan pengikut sepak takraw negara, Abd Halim Abd Karim.
"Pak Long main tenang, memang sesuai untuk skuad kebangsaan. Lagi ngam kalau main dengan dua kawan di Negeri Sembilan Antlers," kata penyokong sepak takraw, Ibrahim Shamsudin. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram