[VIDEO] Demi Piala Tun Ali, Kedah pantas sambar 2 tonggak Penang BP


  • Podium
  • Khamis, 28 Nov 2024

Khidmat pemain Penang Black Panthers ditagih Kedah menjelang Piala Tun Ali di Melaka itu. — Facebook/STL

PEMINAT sukan sepak takraw dalam negara akan terus dihiburkan dengan saingan Piala Tun Raja Ali yang akan berlangsung bermula 2 sehingga 8 Disember ini di Melaka.

Meskipun hanyalah satu pertandingan jemputan, Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) masih melihat kualiti di sebalik saingan yang disertai barisan pemain kebangsaan dan berbakat itu.

Ini kerana presidennya, Datuk Mohd Sumali Reduan menegaskan seramai empat bintang bersinar akan diserap ke dalam skuad kebangsaan bagi melengkapkan senarai 18 pemain.

BACA LAGI: Perak berpeluh tundukkan Negeri Sembilan, muncul juara Piala Tun Ali 2023

BACA LAGI: 'Patut masukkan Zaim', fans Penang BP kecewa ketiadaan 'feeder' musnahkan peluang kalahkan ATM Guardians

468635647_944744677701975_8051877722723343407_n

Hasil undian Piala Tun Ali bagi kesemua tiga kategori dipertandingkan. Facebook/PSM

Tumpuan sudah tentu diberikan terhadap pasukan Utara tanah air iaitu Kedah yang akan berentap dalam semua kategori iaitu regu lelaki, beregu lelaki dan regu wanita.

Meskipun tidak bersaing dalam saingan Liga Sepak Takraw (STL) 2024, mereka akan dibarisi pemain berpengalaman dengan sebahagian daripada mereka beraksi buat pasukan lain sebelum ini.

Antaranya ialah apit kanan, Zaim Razali dan Ikhwan Syafiq yang beraksi di posisi tekong dengan kedua-dua pemain tersebut merupakan tonggak Penang Black Panthers.

Kehadiran mereka sudah tentu menjadi bahan bualan peminat sepak takraw memandangkan Pulau Pinang juga beraksi dalam Piala Tun Raja Ali dengan hanya kategori regu wanita tidak disertai.

Masing-masing juga kelihatan bersedia untuk melonjakkan nama Kedah dalam saingan terbabit kerana dalam satu hantaran di akaun TikTok Kedah Eagle, mereka sudah menjalani sesi latihan.

Berdasarkan undian dibuat pada Khamis, pasukan tersebut diletakkan dalam Kumpulan C yang turut dibarisi Johor serta tiga pasukan lain bagi regu lelaki sementara kategori beregu lelaki menyaksikan mereka berada dalam Kumpulan D.

Pada saingan tahun lalu, Perak muncul juara keseluruhan Piala Tun Raja Ali selepas menewaskan Negeri Sembilan dengan mereka sudah tentu mahu mengulangi pencapaian terbabit. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram