[VIDEO] Piala Tun Ali: Taktikal menjadi, bintang beregu Kedah buka rahsia tundukkan Perak


  • Podium
  • Ahad, 08 Dis 2024

Gandingan Suhairi dan Theeranan membolehkan Kedah menjuarai acara beregu Piala Tun Ali 2024. — Facebook/Takraw Kedah Eagle

STATUS underdog Kedah dalam Piala Tun Ali tidak mematahkan semangat mereka apabila pasukan Utara tanah air tersebut menjuarai acara beregu pertandingan tersebut.

Mereka yang bertemu skuad pilihan, Perak dalam perlawanan akhir di Bukit Serendit, Melaka pada Ahad kelihatan berkeyakinan meskipun tahu akan jurang kualiti antara kedua-dua pasukan.

Namun, perbezaan tersebut tidak mematahkan keyakinan Kedah yang meraih kemenangan straight set 15-13, 15-10 untuk menundukkan juara edisi lalu itu.

BACA LAGI: [VIDEO] Demi Piala Tun Ali, Kedah pantas sambar 2 tonggak Penang BP

BACA LAGI: [VIDEO] Gandingan Akif-Komkrit boleh tahan, servis 'slow' bantu Perak benam Pahang

469687909_122109376340633936_2671412253342411516_n

Kedah menundukkan Perak dengan kemenangan straight set pada Ahad. Facebook/Takraw Kedah Eagle

Suhairi Sulaiman yang jelas berpuas hati dengan kejayaan tersebut menegaskan strategi diterapkan pasukan kejurulatihan membuahkan hasil kerana ia membawa kesukaran buat pihak lawan.

"Sebenarnya, kita memang kerap sasarkan 'killer' Perak sahaja kerana kita memang mahu menyukarkannya. Saya rasa itu yang menyebabkan dia sukar sedikit (untuk beraksi)," katanya kepada Astro Arena.

Dalam perlawanan itu, Kedah menurunkan Suhairi dan Theeranan Seesawang sementara Perak mempertaruhkan duo utama mereka, Asyaraaf Hadi sebagai apit kanan dan Trai Yodsanon yang merupakan killer mereka.

Meskipun menampilkan barisan terbaik, Perak kelihatan sukar untuk menundukkan lawan mereka itu kerana taktikal diterapkan jelas sukar untuk diatasi.

Malah, dalam set pertama, juara keseluruhan bagi Piala Tun Ali 2023 mensia-siakan peluang untuk meraih kelebihan apabila tewas setelah mendahului 13-10.

Dalam pada itu, Suhairi yang pernah beraksi dalam Liga Sepak Takraw (STL) buat Putrajaya Cyborg sempat berkongsi pesanan diberikan kepada Theeranan sebagai gandingannya.

"Saya sering tekankan konsep 'satu, satu' kerana dalam permainan beregu, kita banyak menggunakan strategi. Maksudnya, selepas sudah selesaikan satu masalah, ia akan dapat membantu pasukan.

"Selain itu, bagi hari ini, saya akui bahawa Perak banyak memberi peluang kepada kita apabila ada servis terkandas. Ini sebabnya kita berjaya untuk menang," katanya lagi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram