[VIDEO] STL Champions Cup melebihi standard Sukan Asia — Legenda Thailand


  • Podium
  • Rabu, 10 Sep 2025

Pornchai menyifatkan pentas Champions Cup lebih hebat berbanding mana-mana pentas antarabangsa yang pernah disertainya.

SAINGAN Champions Cup 2025 melabuhkan tirainya pada Ahad dengan menyaksikan Negeri Sembilan (NS) Antlers muncul juara, sekali gus mencatat hatrik menjuarai kejohanan itu tiga kali berturut-turut.

Pertandingan berprestij yang menghimpunkan 10 pasukan, termasuk lima kelab jemputan antarabangsa, mendapat sambutan hangat apabila ratusan penonton membanjiri Stadium Karisma, Negeri Sembilan pada setiap perlawanan.

Kemeriahan itu membuktikan bahawa sukan sepak takraw masih mempunyai tempat istimewa di hati peminat, selain menegaskan kejohanan ini terus menjadi tumpuan selepas penutup Liga Sepak Takraw (STL) hujung Ogos lalu.

BACA LAGI: Pernah fobia ke Kuala Lumpur, 'dewa' sepak takraw Thailand umum bersara usia 44 tahun

BACA LAGI: STL 2025 tambah lokasi GP, wujudkan sistem kelas lebih ‘drama’

Selain kehebatan pasukan yang bertanding dalam Champions Cup 2025, faktor penganjuran turut dipuji kerana berjaya mengekalkan momentum kompetitif serta menawarkan aksi bertaraf tinggi. 

Kejohanan berkenaan bukan sahaja mempertemukan pasukan terbaik negara dalam sukan sepak takraw, malah membuka ruang untuk kelab antarabangsa menguji keupayaan mereka di gelanggang Malaysia.

Menariknya, kejohanan kali ini turut menerima pujian daripada legenda perejam Thailand, Pornchai ‘Pui’ Kaokaew, yang juga pengurus pasukan Ratchaburi TAT apabila dia mengakui terpesona dengan suasana luar biasa di Stadium Karisma. 

Memetik hantaran dari laman peminat bola rotan, Takraw-PTN berkenaan, Pornchai menyifatkan gelanggang itu lebih hebat berbanding mana-mana pentas antarabangsa yang pernah disertainya, malah melebihi standard Sukan Asia. 

"Sorakan penyokong yang memenuhi arena memberi semangat dan membuatkan saya berasa teruja serta ingin sendiri turun gelanggang untuk beraksi," kata pengurus berusia 44 tahun berkenaan. 

Pujian daripada ikon antarabangsa tersebut jelas membuktikan STL Champions Cup kini berada pada tahap lebih tinggi dan wajar dijadikan contoh kepada kejohanan lain di rantau ini. 

Ia juga mengangkat reputasi sepak takraw Malaysia sebagai penganjur berwibawa, selain mengukuhkan kedudukan STL sebagai platform utama pembangunan bakat dan pendedahan di pentas global.

Untuk info, Pornchai yang digelar ‘dewa’ oleh peminat sukan berkenaan mengumumkan persaraannya secara rasmi pada Ogos lepas. 

Populariti pemain berkenaan juga dikatakan mengatasi nama besar lain seperti Suebsak Puensab hasil prestasi serta kepimpinan yang sukar ditandingi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram