KEPUTUSAN Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk mengheret kes tujuh pemain warisan ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) memecahkan pendapat dalam kalangan peminat tempatan.
Sebahagian berpandangan tindakan itu tepat dalam memastikan keadilan buat mereka yang dikenakan penggantungan 12 bulan serta denda mencecah CHF 2,000 (RM 10,560) oleh FIFA atas isu pemalsuan dokumen.
Tetapi, ada pula berpendapat keputusan tersebut hanya mensia-siakan sumber kewangan negara dengan perubahan besar tidak akan dijanjikan di hadapan muka pengadilan CAS.
BACA LAGI: Boleh main Malaysia lepas tamat jalani hukuman? CAS harapan terakhir 7 pemain warisan

FAM mahu mengheret kes pemain warisan ke muka pengadilan selepas rayuan terhadap FIFA ditolak.
Namun, Tunku Ismail Sultan Ibrahim pada Rabu tampil meredakan situasi dengan menegaskan perbelanjaan ke mahkamah tersebut bakal ditanggung sepenuhnya dalam usaha memperjuangkan hak pemain yang terkesan.
Bantuan dihulurkan pemilik Johor Darul Ta'zim (JDT) itu mengundang penghargaan daripada peminat bola sepak tanah air yang melihat sumbangan tersebut dibuat bagi memastikan kelangsungan karier ketujuh-tujuh pemain itu.
Ini bukanlah kali pertama Tunku Ismail tampil menawarkan bantuan buat skuad kebangsaan kerana penglibatannya turut dilihat ketika mengenal pasti calon bintang warisan.
Malah campur tangan bekas Presiden FAM turut mendapat perhatian bekas Menteri dalam Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim yang menjelaskan tiada sebab untuk Tunku Ismail risau akan keputusan badan induk bola sepak antarabangsa itu.

Zaid Ibrahim mengingatkan FAM bahawa setiap keputusan diambil akan diperhatikan peminat.
"TMJ (Tunku Mahkota Johor) tidak risau mengenai reaksi FIFA terhadap isu pemain warisan. Sudah tentu, kenapa perlu risau? FIFA tidak mempunyai kuasa ke atas mana-mana individu yang berada di luar ahli gabungan FIFA, lainlah FAM.
"Saya percaya TMJ tiada posisi rasmi dalam FAM. Berkenaan rayuan ke CAS, saya menganggap FAM sudah memutuskan perkara itu atas kerelaan sendiri dan bukan kerana ada yang menguruskan kos," tulisnya pada Rabu.
Ini bukanlah kali pertama peguam ternama berkenaan memberi pandangan berhubung skandal itu kerana dia pernah melabel FAM hanyalah 'budak yang disuruh'.
Pandangan dilontarkan itu jelas menyatakan Zaid beranggapan terdapat dalang yang mempengaruhi pendirian FAM untuk memberikan status warisan terhadap ketujuh-tujuh pemain terlibat.
"FAM perlu ingat bahawa negara ini akan terkesan dengan impak daripada tindakannya dan orang ramai menjangkakan keputusan kukuh akan dibuat berhubung isu melibatkan bola sepak," katanya.
FIFA sebelum ini menyatakan tempoh 10 hari diberikan kepada FAM untuk memperoleh keputusan bersebab (motivated decision) berkaitan rayuan yang ditolak.
Selepas itu, masa 21 hari diberikan untuk melengkap dokumen yang bakal dibawa ke CAS dengan harapan terdapat berita baik diterima FAM dan tujuh pemain warisan berkenaan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
