Boleh main Malaysia lepas tamat jalani hukuman? CAS harapan terakhir 7 pemain warisan


  • Podium
  • Rabu, 05 Nov 2025

FAM akan membawa kes tersebut ke muka pengadilan selepas rayuan dibuat ditolak FIFA.

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) masih belum berputus asa dalam memperjuangkan nasib ketujuh-tujuh pemain yang digantung FIFA kerana isu pemalsuan dokumen.

Ini selepas rayuan dikemukakan badan lokal itu tidak mengubah nasib dialami mereka yang terlibat, sekali gus menyaksikan mereka tidak boleh beraksi untuk 12 bulan.

Tetapi, keputusan terbabit tidak mematahkan semangat FAM yang mahu mengheret organisasi antarabangsa itu ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS).

BACA LAGI: Hukuman FIFA kekal: Orang kuat bola sepak Vietnam tak tolak kemungkinan AFC 'tambah' derita FAM

BACA LAGI: Gantung Harimau Malaya, 'salin' FAM jika FIFA kekal keputusan

Tunku Ismail menyatakan hasrat untuk membantu kesemua tujuh pemain yang digantung.

Hasrat itu turut dinyatakan Tunku Ismail Sultan Ibrahim dengan menegaskan hukuman FIFA ke atas ketujuh-tujuh pemain tersebut sudah melanggar peraturan dan hanya FAM sepatutnya berdepan tindakan.

Bagaimanapun, sekali pun keputusan di CAS menyebelahi negara, persoalan sama ada kesemua yang terlibat dapat kembali ke dalam skuad kebangsaan pada masa depan.

Bekas Setiausaha Agung FAM, Saifuddin Abu Bakar menjelaskan peluang untuk dipanggil ke dalam pasukan Peter Cklamovski masih terbuka melihat kepada keputusan mahkamah terbabit.

"Sebagai negara yang sukan nombor satu adalah bola sepak, janganlah duduk dan hanya memikirkan hal ini. Kita perlu ke depan dan memikirkan hal yang boleh menambah baik nama negara dalam bola sepak.

Saifuddin menyatakan peluang terbuka buat kesemua tujuh yang terlibat berdasarkan keputusan CAS. Facebook/FAM

"(Peluang kembali ke dalam pasukan negara) adalah terpulang kepada CAS, keputusan mereka adalah terakhir sekali," katanya kepada Majoriti.

FIFA dalam kenyataan pada Isnin menjelaskan tempoh 10 hari diberikan kepada FAM untuk memperoleh keputusan bersebab dan selepas menerimanya, tempoh 21 hari berlangsung akan dibawa ke mahkamah sukan itu.

Meskipun peluang tipis untuk terlepas dari hukuman tersebut, ia tidak menghalang badan bola sepak itu serta Tunku Ismail daripada membawanya ke CAS demi kelangsungan karier ketujuh-tujuh mereka yang terlibat.

Dalam pada itu, Saifuddin berkata, status kewarganegaraan diberikan Kementerian Dalam Negeri (KDN) ke atas tujuh pemain berkenaan tidak menjanjikan tempat dalam skuad kebangsaan.

Undang-undang FIFA menghalang pemain walaupun memegang status warganegara. Agensi

"Ada dua perkara berbeza, satu Perlembagaan Malaysia. Kalau rujuk itu, tidak boleh nafikan yang mereka diberi sebagai warganegara.

"Tetapi, kita ada satu lagi peraturan bahawa FAM atau mana-mana badan bola sepak yang ikut FIFA mestilah ikut peraturan FIFA. Jadi, kalau kita lihat, ia adalah berbeza dari Perlembagaan kita," katanya.

Sekiranya dapat kembali ke pangkuan Harimau Malaya, kesemua yang terlibat pasti mampu menaikkan kualiti pasukan seperti mana pernah disaksikan sebelum penggantungan dikenakan.

Namun, jika tiada lagi ruang buat mereka, FAM perlu mencari solusi dengan menyenaraikan pemain yang layak atau lebih baik, memberi penekanan terhadap program pembangunan bola sepak. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram