'Pemain mungkin tak faham', peguam Argentina label hukuman FIFA ke atas FAM memalukan


  • Podium
  • Rabu, 05 Nov 2025

Hukuman FIFA ke atas FAM sudah menerima perhatian media antarabangsa.

PEGUAM dari Argentina, Carlos Iparraguirre berpandangan hukuman dikenakan FIFA ke atas Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berhubung skandal pemain warisan cukup memalukan.

Berkata kepada Aire Digital pada Selasa, peguam berkenaan menjelaskan bahawa organisasi antarabangsa itu menggunakan kes tersebut sebagai peringatan agar kes sedemikian tidak berulang.

"Ini merupakan kes yang jelas dibuat secara terang-terangan dan FIFA melihatnya secara serius untuk dijadikan contoh kepada negara lain. Laporan FIFA itu amat memalukan," katanya.

BACA LAGI: TMJ anggap hukuman FIFA bermotifkan politik

BACA LAGI: Hukuman FIFA kekal: Orang kuat bola sepak Vietnam tak tolak kemungkinan AFC 'tambah' derita FAM

Siasatan FIFA dibuat selepas menerima laporan berhubung kemenangan Harimau Malaya ke atas Vietnam. AFC

Iparraguirre turut menegaskan kes terbabit disiasat berdasarkan laporan yang diterima selepas kesemua pemain berkenaan diturunkan dalam aksi Kelayakan Piala Asia 2027 menentang Vietnam pada Jun lalu.

Mereka yang dihukum merupakan Jon Irazabal, Joao Figueiredo, Hector Hevel, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Facundo Garces serta Gabriel Palmero.

Kesemua daripadanya didapati tidak mempunyai pertalian darah sah dengan Malaysia setelah siasatan dibuat FIFA mendapati dokumen diserahkan FAM adalah palsu.

Kesannya, FIFA mengekalkan keputusan penggantungan 12 bulan serta denda selepas rayuan dikemukakan FAM tidak berhasil, sekali gus mendesak badan induk bola sepak tempatan itu membawa kes berkenaan ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS).

Bagaimanapun, kemungkinan untuk keputusan akhir berpihak kepada arena bola sepak tanah air adalah tipis dengan masa depan masing-masing terus kelam.

"Pemain mungkin tidak faham apa yang sudah dilakukan. Situasi dengan kelab hanya boleh diputuskan berlandaskan keputusan pasukan sendiri, tetapi saya boleh katakan ia merupakan sebab kukuh bagi kes pelanggaran kontrak," katanya.

FIFA memaklumkan FAM diberikan tempoh 10 hari untuk memperoleh keputusan bersebab berhubung kegagalan rayuan sebelum diberi 21 hari untuk membawa kes berkenaan ke CAS. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram