Jurulatih JDT akui rindu setiap hari, harap rayuan FAM-FIFA bawa sinar


  • Podium
  • Khamis, 30 Okt 2025

Xisco Munoz luah rindu terhadap tiga bintang utamanya, Joao Figueiredo, Hector Hevel dan Jon Irazabal yang sedang menjalani penggantungan 12 bulan. — Facebook/JST

PENGENDALI Johor Darul Ta'zim (JDT), Xisco Munoz mengakui merindui kehadiran tiga tonggak utama pasukannya iaitu Joao Figueiredo, Hector Hevel dan Jon Irazabal yang kini digantung selama 12 bulan oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dipercayai akibat isu pemalsuan dokumen.

Pada masa sama, Munoz turut menaruh harapan agar ada perkembangan positif dalam rayuan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) kepada FIFA yang melibatkan hukuman terhadap tujuh pemain warisan tersebut.

Menurut Munoz, kehilangan tiga pemain berpengaruh itu memberi kesan besar terhadap kekuatan skuad Harimau Selatan.

BACA LAGI: Noor Azman bertemu Presiden FIFA atas kapasiti peribadi — FAM

BACA LAGI: [VIDEO] Akui kecewa dikeluarkan Bojan Hodak, Saddil mohon maaf lepas baling botol, tumbuk cermin bangku simpanan

“Saya sangat merindui mereka setiap hari, dan saya akan berasa gembira jika mereka dapat kembali bersama kami,” katanya dalam satu hantaran di laman X oleh pemerhati sukan tanah air, Zulhelmi Zainal Azam.

Sejak penggantungan dikenakan, JDT dilihat sedikit bergelut mengekalkan momentum, namun masih memiliki barisan pemain berkualiti untuk terus bersaing di pentas Liga Malaysia dan saingan Asia.

Dalam perkembangan berkaitan, Pemangku Sultan Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim (TMJ) dalam satu sidang media khas pada Sabtu lalu, mengakui hukuman yang dijatuhkan mungkin dikekalkan FIFA.

Namun, TMJ tidak menolak kemungkinan tempoh penggantungan 12 bulan itu boleh dikurangkan bagi membolehkan tujuh pemain terbabit kembali beraksi lebih awal.

Untuk rekod, selain tiga pemain Harimau Selatan itu, empat pemain lain yang turut dikenakan hukuman ialah Rodrigo Holgado, Facundo Garces, Imanol Machuca dan Gabriel Palmero, manakala FAM pula dikenakan denda sebanyak CHF350,000 (RM1.8 juta).

Sebelum ini, Jawatankuasa Tatatertib FIFA mengenakan hukuman terhadap FAM dan tujuh pemain warisan berkenaan kerana melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA (FDC) berkaitan pemalsuan dokumen. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram