TANPA disangka-sangka, seorang jurulatih menemui ajal semasa perlawanan sedang berlangsung di Serbia.
Jurulatih dikenali sebagai Mladen Zizovic yang menguruskan FK Radnicki 1923 dalam saingan divisyen satu Serbia, meninggal dunia pada Isnin semasa menyaksikan skuadnya beraksi.
Dalam rakaman yang tular, Zizovic dikatakan terkena serangan jantung pada minit ke-20 perlawanan.
BACA LAGI: TMJ anggap hukuman FIFA bermotifkan politik
Jurulatih berusia 45 tahun itu sedang menyaksikan pemainnya terbaring di padang akibat dikasari pihak lawan malah dia sempat membantah keputusan pengadil.
Namun secara tiba-tiba, dia terdiam kaku sebelum rebah akibat serangan jantung itu.
Tidak lama kemudiannya, Zizovic disahkan meninggal dunia dan ia memaksa pengadil untuk memberhentikan perlawanan.
Dalam kenyataan kelabnya, mereka jelas kecewa selepas kehilangan seorang jurulatih yang cukup baik.
"Dengan penuh kesedihan, kami mengumumkan kepada orang awam, penyokong dan rakan-rakan yang jurulatih, Mladen Zizovic meninggal dunia ketika perlawanan antara Radnicki 1923 dan Mladost di Lucani.
"Kelab bukan saja kehilangan jurulatih yang hebat, tapi dia adalah manusia yang baik, seorang kawan dan seorang pekerja yang mempunyai pengetahuan luat dan meninggalkan kesan besar kepada setiap jiwa yang mengenalinya," ujar kelab Zizovic.
Berita sedih itu mendapat pengetahuan badan induk bola sepak Serbia dan mereka turut bersimpati atas pemergian jurulatih dari Bosnia & Herzegovina itu. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
