[VIDEO] ‘Tempoh menarik’, pelaburan Tunku Ismail di akademi FK Sarajevo buka episod baharu kelab Bosnia


  • Podium
  • Selasa, 28 Okt 2025

Akademi FK Sarajevo dinamakan FK Sarajevo - Tunku Ismail Idris Akademi berkuat-kuasa serta merta.

PEMILIK Johor Darul Ta'zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim bercita-cita besar selepas melebarkan sayap dan pengaruh dalam arena bola sepak hingga ke Eropah.

Ini selepas sebuah pelaburan dibuat dalam kelab Bosnia, FK Sarajevo sehingga menyaksikan akademi pasukan itu diubah kepada Akademi Bola Sepak FK Sarajevo – Tunku Mahkota Ismail.

Pengumuman tersebut dibuat pada Isnin sebagai tanda penghargaan dan penghormatan yang menandakan detik penting dalam mengukuhkan kerjasama antarabangsa dan pembangunan akar umbi bola sepak.

BACA LAGI: Kelab Kosovo kini sasaran TMJ lepas tak jadi melabur di Sepanyol, manfaatnya tentu buat JDT

BACA LAGI: TRW bakal dimiliki hartawan negara, 3 kelab dibeli Vincent Tan pernah terpalit kontroversi hangat

Kerjasama dibuat antara Tunku Ismail dan FK sarajevo cukup menarik untuk disaksikan.

"FK Sarajevo dengan bangganya mengumumkan bahawa akademi bola sepaknya kini dinamakan FK Sarajevo – Akademi Bola Sepak Tunku Mahkota Ismail, dengan perkenan Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor," kata kenyataan itu.

Ia merupakan kali pertama sebuah kerjasama sebegitu diadakan meskipun sebelum ini, JDT sudah mengadakan hubungan antarabangsa bersama kelab Eropah seperti Borussia Dortmund dan Paris Saint-Germain.

Bagaimanapun, tiada satu pun daripadanya memberi penghargaan sedemikian, sekali gus meletakkan nama Tunku Ismail dan skuad Harimau Selatan ke satu tahap lebih tinggi.

Penghormatan berkenaan turut menerima respons baik daripada peminat FK Sarajevo yang teruja untuk menyaksikan impak positif bakal dibawa hasil pelaburan terbabit.

"Tidak boleh disangkal lagi bahawa ini merupakan satu tempoh yang menarik untuk disaksikan. Ia boleh berakhir dengan dua cara sama ada kejayaan hebat, pelaburan besar dalam akademi atau tiada apa-apa perubahan.

"Kita ketika ini jauh dari mana yang dimahukan. Tetapi, dengan pelaburan ini dan keputusan tepat, kita boleh melihat masa depan cerah," kata FK Sarajevo Insider.

Walaupun tidaklah begitu dikenali di persada antarabangsa, FK Sarajevo merupakan antara kelab terbaik di Bosnia dengan beberapa kejuaraan domestik pernah dikecapi.

Selain itu, kelab berkenaan pernah melahirkan lambakan pemain yang kemudiannya diserap ke dalam skuad kebangsaan mahupun beraksi di pasukan sekitar Eropah.

Pelaburan tersebut akan menyaksikan pemain dalam akademi JDT berpeluang menyertai kem latihan di negara Eropah itu, sekali gus mampu melahirkan lebih ramai bintang pada masa akan datang. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram