
KELAB Korea Selatan, Ulsan HD melepaskan pengendali mereka iaitu Shin Tae-yong selepas 65 hari bersama.
Keputusan itu dibuat terhadap bekas jurulatih Indonesia itu kerana masalah dalaman yang dihadapi Shin bersama skuadnya.
Menurut Asean Football, Shin yang pernah membimbing Korea Selatan di Piala Dunia 2018 dikatakan tidak sehaluan dengan beberapa pemain dalam skuadnya.
BACA LAGI: Kemarau kemenangan 9 aksi terakhir, nasib Pan-gon bersama Ulsan HD ibarat telur di hujung tanduk
Malah, Shin dikatakan cuba untuk melangkaui keputusan pengurusan tertinggi kelab dengan cuba melakukan perubahan besar dalam skuad tanpa kebenaran.
Ketika ini, Ulsan di zon penyingkiran K-League 1 dengan cuma meraih satu kemenangan, tiga seri dan empat kekalahan.
Malah di Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE), Ulsan meraih satu kemenangan dan satu seri.
Rekod Shin di Ulsan dilihat lebih pendek berbanding jurulatih yang dia gantikan iaitu Kim Pan-gon.
Kim yang merupakan bekas jurulatih Harimau Malaya bertahan lebih lama di Ulsan selama 369 hari dengan dia juga pernah menghadiahkan kejuaraan liga buat kelab itu.
Kini, Ulsan sedang mencari pengganti sementara untuk menstabilkan prestasi kelab. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram