KARIER kejurulatihan bekas pengendali Harimau Malaya, Kim Pan-gon bersama Ulsan HD di Korea Selatan tidak berakhir dengan baik setelah dia hanya bertahan kira-kira setahun.
Jurulatih berusia 56 tahun itu sebelum ini dilantik kelab tersebut pada Julai 2024 untuk menggantikan Hong Myung-bo yang dilantik pasukan kebangsaan Korea Selatan.
Meskipun berjaya membantu mereka menjuarai liga, Pan-gon hanya bertahan hingga awal Ogos lalu apabila rentetan keputusan mengecewakan memaksa pihak pengurusan menggugurkan khidmatnya.
BACA LAGI: Kemarau kemenangan 9 aksi terakhir, nasib Pan-gon bersama Ulsan HD ibarat telur di hujung tanduk

Pan-gon hanya bertahan kira-kira setahun bersama Ulsan HD. — Facebook/Ulsan HD
Tindakan itu tidaklah begitu mengejutkan kerana sepanjang bersama Ulsan HD, pengendali berkenaan hanya merekodkan 20 kemenangan dari 52 perlawanan secara keseluruhan.
Catatan kurang baik tersebut turut menyaksikan Pan-gon sukar mencari destinasi baharu dalam karier kejurulatihannya kerana dia tidak bertugas untuk mana-mana kelab selama tiga bulan.
Ini sekali gus menimbulkan khabar angin bahawa terdapat kemungkinan jurulatih itu akan kembali ke tanah air untuk mengendalikan kelab Liga Super yang bergelut musim ini.
Malah, ura-ura itu bertebaran hingga ke Korea Selatan apabila sebuah portal sukan dari negara terbabit, Addon Time menyenaraikan Sabah FC, Selangor FC dan Terengganu FC sebagai destinasi berkemungkinan buat Pan-gon.
"Pan-gon yang meninggalkan Ulsan HD sedang menerima tumpuan dari Liga Malaysia. Tiga kelab yang mencatatkan keputusan mengecewakan dilaporkan bersedia untuk melantik jurulatih baharu bagi mengubah suasana dan persekitaran," tulisnya.
Ketiga-tiga kelab berkenaan jelas mengalami isu dalam aspek kejurulatihan musim ini, terutamanya Selangor FC yang sudah menggugurkan khidmat Katsuhito Kinoshi dengan tempatnya kini diisi Cristophe Gamel secara interim.
Bagi Terengganu FC dan Sabah FC pula, pihak pengurusan masih belum membuat sebarang kata putus berhubung nasib Badrul Afzan Razali dan Jean-Paul de Marigny.
Ini sekali gus mengukuhkan lagi khabar angin bahawa Pan-gon akan sekali lagi mewarnai arena bola sepak tempatan selepas membuktikan dirinya selama tiga tahun bersama Harimau Malaya.
Tetapi, permintaan gaji boleh menyulitkan usaha terbabit memandangkan jurulatih berkenaan boleh meletakkan tanda harga tinggi selepas menjuarai Liga Korea Selatan dan membawa skuad kebangsaan ke Piala Asia 2023.
Untuk rekod, sepanjang bersama pasukan negara, pengendali terbabit mencatatkan peratus kemenangan setinggi 54.3 peratus daripada 35 perlawanan kompetitif. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
