
SELEPAS ketiadaan Katsuhito Kinoshi, Selangor FC 'berlayar' bersama Christophe Gamel untuk mengharungi saingan musim ini.
Dengan Gamel sebagai pengendali sementara, teka-teki mengenai siapakah jurulatih baharu Gergasi Merah masih berterusan dengan ada dua nama besar dikaitkan setakat ini.
Bekas pengendali Buriram United, Osmar Loss dan mantan jurulatih Harimau Malaya iaitu Kim Pan-gon antara nama yang dikaitkan namun Selangor pasti terpalit dalam dilema dalam memilih mereka.
BACA LAGI: Ada resipi tundukkan JDT, Osmar Loss wajar 'dipinang' Selangor lepas tinggalkan Buriram United
BACA LAGI: Dibuai rekod lampau, Selangor-Man United bagaikan ‘kembar’ di benua berbeza
Mampu tumpaskan JDT
Osmar Loss mengejutkan bola sepak Asia Tenggara apabila dia meninggalkan Buriram pada Selasa walaupun sedang memimpin kelab itu di puncak Thai League 1.
Mempunyai kualiti dalam membimbing Buriram ke tahap tertinggi, Loss juga ada satu kelebihan yang mungkin berguna buat Selangor jika diambil bekerja.
Osmar Loss mempunyai rekod baik berjumpa JDT.
Kelebihan tersebut adalah kemampuannya menewaskan Johor Darul Ta'zim (JDT) dengan Loss tidak pernah kalah dalam tiga pertemuan dengan Harimau Selatan.
Musim lalu, Loss membantu Buriram mengalahkan JDT di pusingan 16 terbaik Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE) serta ketika mereka bertemu di fasa liga (league phase) kejohanan sama musim ini.
Faham bola sepak Malaysia
Dalam pada itu, kelebihan Kim Pan-gon yang tiada pada Loss adalah kefahamannya terhada bola sepak tempatan.
Berbekalkan pengalaman sebagai pengendali Harimau Malaya sebelum ini, Kim sudah faham sepak terajang bola sepak negara walaupun melihat dari sudut jurulatih skuad kebangsaan.
Kim Pan-gon faham suhu bola sepak Malaysia.
Sudah mengenali beberapa pemain malah mempunyai hubungan baik bersama Faisal Halim, sudah pasti Kim dilihat sesuai untuk mengemudi Selangor dan meningkatkan prestasi mereka.
Dengan Selangor mempunyai beberapa pemain muda berpotensi, pastinya Kim berminat untuk menggilap mereka menjadi bintang masa depan Harimau Malaya.
Mana satu pilihan Selangor?
Meter jangkaan penyokong Selangor sentiasa tinggi dan dalam pemilihan jurulatih seterusnya juga sebegitu, mereka mahukan nama elit yang berkualiti mengendalikan Gergasi Merah.
Sudah pasti, penyokong tidak mahu Selangor terus melakukan lantikan yang salah hinggakan ia menghalang pasukan daripada terus bergerak mencabar kejuaraan.
Faktor kewangan juga menjadi penentu kerana jika ia terlalu mahal, Selangor mungkin melupakan nama-nama elit dan perlu mencari calon lain.
Jadi dilema untuk Selangor, Osmar Loss atau Kim Pan-gon? — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram