
WALAUPUN poket ‘rabak’, seorang bapa juga pengasas sebuah kedai kopi tidak teragak-agak menghantar anaknya ke sekolah swasta.
Bagi beliau, yang penting bukan kos, tetapi kualiti pendidikan dan persekitaran terbaik buat anak tersayang.
Pandangan itu dimuat naik menerusi hantaran di Facebook beliau pada Rabu dengan disertai sekeping foto bersama anaknya yang berpakaian uniform sekolah.
Hazim Baharin (gambar kecil) tidak kisah berbelanja besar menghantar anak ke sekolah swasta kerana baginya, pendidikan dan persekitaran lebih penting. — Gambar hiasan/Freepik
"Hantar je anak ke sekolah swasta. Guru senang nak pantau kalau kelas lima hingga 10 orang pun. Silibus ikut tahun.
"Jika tak lulus ujian, ulang semula, lantak lah," katanya dalam hantaran
Beliau mengakui, kadang-kadang dirinya sendiri tidak makan pun tidak mengapa.
"Poket rabak pun rabaklah. Janji anak saya dapat pendidikan dan persekitaran yang baik," ujarnya.
Selain itu, beliau juga mengambil kira faktor kebersihan dan keselesaan yang ditawarkan sekolah berkenaan.
"Balik sekolah pun tak bau telur sangat, ada penghawa dingin. Baju pun stail pakai tiap hari," katanya berseloroh.
Menyentuh soal disiplin pula, beliau menekankan peranan ibu bapa.
"Cikgu tak perlu rotan. Ibu bapa yang perlu ada rotan di setiap penjuru rumah," tulis beliau.
Dalam hantaran yang turut dikongsi semula itu, ramai warga maya menyuarakan pendapat mereka tentang isu sekolah swasta dan kerajaan dengan menekankan bahawa kejayaan pendidikan anak bukan semata-mata bergantung pada jenis sekolah.
"Swasta ke kerajaan, bukan sekolah yang jadi masalah. Pokok pangkalnya individu itu sendiri," ujar Saidatul Azlin.
"Sebagai ibu bapa, kita jangan pertikai. Kalau ada duit, hantar anak ke swasta. Yang tak ada duit, hantar je sekolah kerajaan. Semua boleh pandai ikut kemampuan anak.
"Yang penting keselamatan anak dan sentiasa doa agar mereka dalam jagaan ALLAH SWT," kata Saleha Mat Nor.
"Semua terpulang pada kemampuan masing-masing. Tak salah berbelanja untuk anak, tapi bila semua hantar ke swasta, kelas boleh jadi padat dan cikgu susah nak fokus, sama seperti di sekolah kerajaan.
"Zaman sekarang, cabarannya sama saja, tak semua mampu hantar anak ke swasta," komen Cik Ain' Kitchen.
Baru-baru ini, negara ditimpa banyak kes melibatkan sekolah, termasuk insiden jenayah serius sehingga mencetuskan kebimbangan keselamatan pelajar.
Kejadian-kejadian yang berlaku itu secara tidak langsung menekankan kepentingan ibu bapa untuk memastikan persekitaran pembelajaran anak-anak selamat, selain menitikberatkan pendidikan akademik.
Ia juga menjadi peringatan bahawa pengawasan, bimbingan dan sokongan keluarga memainkan peranan penting dalam membentuk keselamatan dan kesejahteraan anak-anak, bukan hanya bergantung kepada sekolah dan pihak berkuasa. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram