[VIDEO] Andik jadi 'duri dalam daging' ketika kali terakhir kelab Indonesia bertemu Selangor di pentas Asia


  • Podium
  • Rabu, 05 Nov 2025

Andik (kiri) bermain cukup baik semasa Selangor seri bertemu Arema pada 2014. — Agensi

WAKIL Malaysia di Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2), Selangor FC akan bertemu Persib Bandung dalam perlawanan keempat peringkat kumpulan di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Kelana Jaya pada Khamis.

Selepas tumpas 0-2 di Indonesia, harapan Selangor untuk mara ke pusingan seterusnya semakin tertutup dengan jika mereka mahu layak, Gergasi Merah wajib menang baki tiga perlawanan sambil mengharapkan keputusan-keputusan lain memihak kelab itu.

Perlawanan pada Khamis ini juga menandakan buat pertama kali dalam 11 tahun, kelab Indonesia akan turun ke Malaysia untuk beraksi dalam kejohanan Asia bertemu Selangor.

BACA LAGI: Faisal Halim dalam momentum terbaik, tetapi Selangor mudah dibolosi — Bojan Hodak

BACA LAGI: [VIDEO] Pedihnya masih terasa, jaringan ex-TFC hampakan Selangor masa tugasan terakhir Asia di Indonesia

Dalam perlawanan yang berlangsung pada 24 Februari 2024 itu, bukan Persib yang berdepan Selangor sebaliknya satu lagi kelab iaitu Arema Indonesia.

Semasa perlawanan tersebut, Arema dikejutkan dengan persembahan berkualiti ditonjolkan oleh pemain kebangsaan Indonesia, Andik Vermansah.

Andik yang ketika itu berada pada prestasi cukup baik bersama Selangor, jelas menjadi duri dalam daging buat Arema apabila persembahannya mengucar-kacirkan pintu gol kelab itu.

Malah, dia turut menyumbang bantuan gol buat Selangor apabila tekanannya terhadap pemain lawan membuka ruang untuk Andik melorongkan bola kepada Paulo Rangel menggegar gawang Arema.

Selain itu, Andik menunjukkan kualitinya sebagai perancang apabila dia menghantar bola kepada Shukor Jusoh, hanya untuk pemain tersebut melepaskan peluang keemasan di depan gol.

Walaupun beraksi cemerlang, persembahan Andik tidak cukup untuk memberikan kemenangan buat Selangor apabila Arema berjaya menyamakan kedudukan menerusi Victor Igbonefo pada hujung permainan bagi menjadikan kedudukan 1-1 pada tamat perlawanan.

Tanpa disangka, keputusan tersebut menjadi titik tolak kepada permulaan suram Selangor di peringkat kumpulan sebelum mereka tersingkir awal.

Lebih malang, Selangor turut tumpas 0-1 pada aksi yang diadakan di Indonesia beberapa bulan kemudian.

Akan tetapi, persembahan penuh inspirasi Andik tak ubah seperti mana yang ditonjolkan oleh Faisal Halim sekarang bersama Selangor.

Namun, untuk mengharapkan Faisal semata-mata tidak cukup, pemain-pemain lain perlu bangkit untuk bantu Selangor kalahkan Persib. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram